Tangan FlexiGrip Robotik uji ketepatan, koordinasi dan inovasi murid SK Tunku Bendahara, Kodiang
Gambar Zakiah Hashim
KODIANG, 15 Januari 2026: Program SciTeach4U–STEM Camp MOSTI 2025/2026 diteruskan dengan aktiviti STEM ketiga yang berfokuskan elemen robotik asas dan reka bentuk kejuruteraan, menerusi aktiviti pembinaan Tangan FlexiGrip Robotik.
Program ini dikendalikan oleh empat perunding dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Hashibah Hamid bersama tiga ahli iaitu Prof. Madya Dr. Sharmila Karim, Rohaiza Zakaria dan Zakiah Hashim, selain pelajar SQS yang berperanan sebagai fasilitator bagi memastikan setiap murid mendapat bimbingan yang berkesan.

Dr. Hashibah berkata, aktiviti ini memberi pendedahan awal kepada murid sekolah rendah tentang bagaimana struktur mekanikal ringkas mampu meniru fungsi tangan manusia melalui konsep pergerakan, daya tarikan dan koordinasi.
Menurutnya, objektif utama aktiviti ini adalah untuk menggabungkan prinsip Sains (pergerakan & daya), Teknologi (robotik), Kejuruteraan (reka bentuk struktur) dan Matematik (ketepatan & urutan pergerakan) dalam satu pengalaman pembelajaran yang interaktif dan mencabar.
Katanya, melalui aktiviti ini, murid-murid bukan sahaja membina model tangan robotik, malah menguji keberkesanannya dalam melaksanakan tugasan yang memerlukan ketelitian dan kawalan pergerakan.
“Dari sudut kejuruteraan, murid perlu mereka bentuk struktur tangan robotik yang kukuh dan stabil, manakala dari aspek sains, murid memahami bagaimana tarikan benang dan pergerakan jari mempengaruhi fungsi genggaman. Sementara dari perspektif teknologi dan inovasi, murid digalakkan mencadangkan penambahbaikan terhadap binaan sedia ada bagi meningkatkan keupayaan tangan FlexiGrip robotik mereka,” katanya.

Program ini melibatkan penyertaan 100 murid tahap dua iaitu murid Tahun 5 dan 6 dari Sekolah Kebangsaan Tunku Bendahara. Aktiviti Tangan FlexiGrip Robotik dilaksanakan melalui beberapa fasa utama iaitu fasa pembinaan, fasa pengujian fungsi dan fasa cabaran robotik yang menilai ketepatan serta kecekapan pergerakan tangan robot.
Dalam fasa pengujian, murid-murid diberi cabaran untuk menggunakan tangan robotik yang dibina bagi mengangkat dan menyusun bola ping pong ke dalam cawan, serta memindahkan air dari satu cawan ke cawan yang lain pada jarak tertentu. Markah akan ditolak sekiranya objek jatuh atau air tertumpah, sekali gus melatih murid supaya lebih teliti, cermat dan sistematik dalam mengawal pergerakan robot.
Selain itu, penilaian turut merangkumi aspek kekemasan hasil kerja, kreativiti reka bentuk, kestabilan struktur, ketahanan binaan serta fungsi dan pergerakan tangan robotik. Murid-murid juga digalakkan mencipta inovasi sendiri seperti menambah baik struktur jari atau sistem genggaman bagi meningkatkan keupayaan robot mengangkat objek yang lebih berat atau mencabar.

Bagi memperkukuh elemen pemikiran aras tinggi (KBAT), murid turut terlibat dalam sesi soal jawab dan refleksi berkaitan aplikasi robotik dalam dunia sebenar, termasuk peranan teknologi robotik dalam membantu golongan kurang upaya serta kegunaan reka bentuk mekanikal dalam industri moden. Aktiviti ini secara tidak langsung membuka minda murid bahawa inovasi teknologi boleh dibangunkan bermula daripada idea dan bahan yang ringkas.
Sementara itu, Guru Besar SK Tunku Bendahara, Ku Ahmisuhaimi Ku Ahmad berkata, aktiviti Tangan FlexiGrip Robotik ini berjaya meningkatkan minat murid terhadap bidang STEM, khususnya robotik dan kejuruteraan.
Beliau berharap pendedahan awal melalui program SciTeach4U–STEM Camp MOSTI 2025/2026 ini mampu melahirkan generasi murid yang lebih kreatif, berdaya inovasi serta berani meneroka bidang sains dan teknologi pada masa hadapan.

Secara keseluruhannya, aktiviti ini bukan sahaja membina kemahiran teknikal murid, malah menggalakkan kerja berpasukan, komunikasi berkesan dan pemikiran kreatif. Ini adalah selari dengan aspirasi MOSTI dalam memperkasa pendidikan STEM di peringkat sekolah rendah lagi.
Kepada mana-mana staf UUM yang berminat untuk berkolaborasi dengan kami, boleh berhubung terus dengan ketua program iaitu Prof. Madya Dr. Hashibah Hamid (hashibah@uum.edu.my atau 011 – 15149669) untuk berbincang lanjut kerana kami telah mempunyai beberapa produk bagi melaksanakan aktiviti/program STEM. – Prof. Madya Dr. Hashibah Hamid dan Nursyazwani Mohamad Noor



