IDCT 2.0: Pasukan UUM melangkah ke fasa pelaksanaan Projek Pelancongan Komuniti
Gambar Eiman Hazim Kamal Izzuwan
SEMENYIH, 18 Januari 2026: Pasukan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Raslinda Ghazali selaku mentor telah menyertai Bootcamp 3 Program Impact Digital Community Tourism (IDCT) 2.0 Edisi Kuala Lumpur yang berlangsung selama tiga hari bemrula 9 Januari lalu di AsiaCamp, Semenyih, Selangor.

Raslinda berkata, penyertaan ini merupakan sebahagian daripada fasa latihan intensif dalam program IDCT 2.0 yang bertujuan memperkukuhkan keupayaan pasukan universiti dalam merancang dan melaksanakan projek pelancongan komuniti berimpak tinggi secara mampan dan berdaya saing.
Program Impact Digital Community Tourism (IDCT) 2.0 merupakan sebuah pertandingan berimpak tinggi anjuran Unit Keusahawanan, Bahagian Perancangan Dasar, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Program ini memberi penekanan kepada pembangunan pelancongan komuniti berasaskan inovasi digital, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan keusahawanan sosial, selaras dengan aspirasi Community-Driven University for a Sustainable World serta menyokong agenda pelancongan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Sepanjang bootcamp, peserta telah mengikuti pelbagai pengisian komprehensif yang merangkumi sesi taklimat program, aktiviti ice breaking, perkongsian strategi pelaksanaan Community-Based Eco Tourism (CBET), pembangunan produk dan perkhidmatan pelancongan komuniti, strategi place marketing, serta pemindahan ilmu kepada komuniti. Program ini turut menyediakan sesi bimbingan dan mentoring bagi membantu pasukan universiti memperhalusi idea projek yang akan dilaksanakan di lapangan.

Antara pengisian utama dalam Bootcamp 3 ialah Majlis Pelancaran Rasmi Program IDCT 2.0 yang telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Hazlan Abdul Hamid.
Selain itu, program turut melibatkan sesi pemilihan komuniti yang menyaksikan penyertaan 18 kumpulan universiti dan 18 komuniti terpilih, perbincangan mendalam berkaitan pemerkasaan komuniti dan pengenalpastian impak projek, sesi Community Knowledge Transfer, persediaan penulisan artikel, serta perancangan pelaksanaan Mini Showcase dan Grand Showcase sebagai komponen penilaian utama program.
Penyertaan dalam Bootcamp 3 ini telah memberikan pelbagai manfaat kepada semua pasukan yang terlibat, antaranya peningkatan kefahaman terhadap konsep CBET, keupayaan membangunkan produk dan pengalaman pelancongan komuniti yang bernilai komersial, penguasaan strategi pemasaran destinasi secara berkesan, serta pengukuhan kemahiran komunikasi dan kerjasama antara universiti dan komuniti. Sesi mentoring yang dijalankan juga membantu pasukan menstruktur pelan pelaksanaan projek agar lebih praktikal, berimpak dan mampan.

Susulan kejayaan pelaksanaan Bootcamp 3, Program IDCT 2.0 kini memasuki fasa seterusnya, iaitu Fasa Pembangunan Projek dan Pelaksanaan Mini Showcase. Dalam fasa ini, pasukan UUM akan bekerjasama rapat dengan Koperasi Pelancongan Homestay Sedim Kulim Berhad sebagai komuniti terpilih bagi melaksanakan projek pelancongan komuniti di lapangan.
Sebagai sokongan kepada pelaksanaan projek, pasukan UUM turut akan menerima pendanaan berjumlah RM3,000 daripada pihak penganjur bagi tujuan pembangunan dan pelaksanaan projek pelancongan komuniti di bawah Program IDCT 2.0. Fasa ini seterusnya akan diteruskan dengan proses penilaian projek dan Grand Showcase sebagai platform pembentangan hasil, pencapaian dan impak projek kepada pihak penganjur.
Penyertaan aktif pasukan UUM dalam Bootcamp 3 IDCT 2.0 mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh peranan sebagai pemacu pembangunan komuniti, memperkasa keusahawanan sosial serta menyokong agenda pelancongan lestari negara melalui kolaborasi strategik antara universiti, komuniti dan pihak industri. – Akmal Ahlami Md Rozai



