Tuanku Canselor perkenan terima menghadap Pengerusi LPU dan Naib Canselor UUM baharu
Gambar Hairul Nizam Zahari
ALOR SETAR, 18 Januari 2026: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman, Tuanku Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) telah perkenan menerima sesi menghadap Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UUM, Tan Sri Dr. Mazlan Yusoff dan Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed di Istana Anak Bukit, pagi tadi.

Tujuan menghadap ini adalah bagi memperkenalkan Pengerusi LPU dan Naib Canselor UUM yang baharu, menyembah maklum hala tuju LPU, menyembah maklum program yang dilaksanakan untuk pembangunan Kedah serta perkembangan terkini UUM.
Pada sesi ini, Dr. Mazlan menyembah maklum mengenai keanggotaan Ahli Lembaga Pengarah Universiti dan mendapat panduan dari Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor.
Beliau juga akan memastikan tatakelola UUM diurus tadbir sebaiknya dan akan membantu Naib Canselor dan universiti ini.

Seterusnya, Dr. Ahmad Martadha menyembah maklum program-program yang telah dan sedang dilaksanakan untuk pembangunan Kedah bagi tahun 2025 dan 2026.
Beliau menyembah maklum untuk negeri Kedah sahaja, sebanyak RM3.13 juta geran penyelidikan komuniti diperuntukkan, khususnya untuk pemindahan pengetahuan kepada komuniti, membabitkan 45 projek komuniti.
Bagi tahun 2026, UUM akan melaksanakan beberapa program dalam usaha meningkatkan pembangunan sosioekonomi penduduk di sekitar Kedah termasuk menyokong dan membantu menjayakan usaha tanam dua juta pokok.



