General

UUM yakin RPM 2026-2035 mampu lonjak pendidikan negara

Gambar Mohd Fuad Hamid

PUTRAJAYA, 20 Januari 2026: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 (RPM 2026–2035) sebagai pelan strategik nasional bagi memacu transformasi menyeluruh sistem pendidikan negara ke arah lebih mampan, berdaya saing dan berpaksikan kemanusiaan.

Majlis peluncuran yang berlangsung di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu turut merangkumi Rancangan Pembangunan Pendidikan Malaysia (RPPM) 2026–2035.

Anwar berkata, RPTM 2026–2035 merupakan satu langkah jitu ke arah pembinaan ekosistem pendidikan tinggi yang mampan, terangkum dan berdaya saing di peringkat global.

Menurutnya, RPTM 2026–2035 dibangunkan sebagai kesinambungan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015–2025 (Pendidikan Tinggi) dan menggariskan lonjakan transformasi bagi memastikan pendidikan tinggi Malaysia kekal berdaya tahan serta siap siaga menghadapi masa hadapan.

Antara pembaharuan utama RPTM ialah pendekatan sebagai “dokumen hidup” yang membolehkan strategi disemak secara berkala selari dengan perubahan teknologi dan landskap global.

Selain itu, pelan ini memberi penekanan kepada aspirasi bakat negara bagi melahirkan graduan sebagai pembina negara, integrasi teknologi termasuk Kecerdasan Buatan (AI) sebagai pemboleh daya utama dalam kurikulum dan penyelidikan, serta peluasan akses pendidikan tinggi melalui laluan kemasukan yang lebih fleksibel.

Berteraskan matlamat “Pembina Negara Berpaksikan Kemanusiaan dan Dipacu Matlamat”, RPTM 2026–2035 turut didukung oleh empat nilai teras iaitu berpaksikan kemanusiaan, kesejahteraan holistik, kemakmuran bersama dan kemampanan demi generasi akan datang.

Pelaksanaan RPTM 2026–2035 dijangka menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem pendidikan tinggi yang lebih inklusif, berinovasi dan berimpak tinggi demi masa hadapan negara yang harmoni, makmur, maju dan mampan.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed menyifatkan RPTM 2026–2035 sebagai pelan yang lebih matang, menyeluruh dan berpandangan jauh berbanding PPPM (PT) 2015–2025.

“Ia bukan sahaja menyempurnakan asas yang telah dibina sebelum ini, tetapi memperluaskan horizon pendidikan tinggi sebagai projek negara yang berteraskan nilai, makna dan masa hadapan bersama,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Dr. Mazlan Yusoff; timbalan-timbalan naib canselor serta Majlis Perwakilan Pelajar UUM.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button