Campus

Naib Canselor lawat Tapak Keusahawanan Pelajar Inasis Luar Kampus, sokong budaya keusahawanan pelajar

Gambar Inasis Luar Kampus

SINTOK, 21 Januari 2026: Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed telah mengadakan lawatan ke Tapak Keusahawanan Inasis Luar Kampus sebagai tanda sokongan berterusan universiti terhadap pemerkasaan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar.

Pengetua Inasis Luar Kampus, Mohd Suktri Othman berkata, lawatan ini bertujuan meninjau secara langsung pelaksanaan aktiviti perniagaan yang diusahakan sepenuhnya oleh pelajar, selain memahami cabaran serta potensi yang wujud dalam ekosistem keusahawanan pelajar di luar kampus.

Menurutnya, inisiatif ini selaras dengan hasrat universiti untuk melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan memiliki kemahiran keusahawanan yang kukuh.

Tapak Keusahawanan INASIS Luar Kampus menempatkan pelbagai gerai perniagaan yang menawarkan makanan dan minuman popular hasil kreativiti pelajar seperti Air Thailicious, nasi lemak, lokcing, ayam goreng crispy, nachos cheese, fries crispy, sate ayam dan daging, serta mi segera goreng yang mencerminkan inovasi dan kebolehan pelajar dalam memenuhi citarasa pelanggan setempat.

“Sesi perniagaan di tapak ini lazimnya beroperasi setiap hari Isnin hingga Sabtu bermula jam 5.00 petang hingga 11.00 malam. Waktu operasi yang fleksibel ini membolehkan pelajar mengimbangi komitmen akademik dengan aktiviti keusahawanan, sekali gus menjana pendapatan sampingan dan pengalaman dunia sebenar dalam pengurusan perniagaan,” katanya.

Naib Canselor turut berinteraksi dengan peniaga pelajar, mendengar perkongsian pengalaman serta memberikan kata-kata galakan agar mereka terus berinovasi, meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan, serta mematuhi aspek kebersihan dan keselamatan makanan.

Beliau berkata, platform seperti Tapak Keusahawanan Inasis Luar Kampus merupakan medium pembelajaran berimpak tinggi yang melengkapkan pembelajaran formal di bilik kuliah.

Secara keseluruhannya, lawatan ini mencerminkan komitmen Universiti Utara Malaysia dalam menyokong pembangunan keusahawanan pelajar sebagai salah satu teras penting ke arah melahirkan graduan berjiwa usahawan, sejajar dengan aspirasi universiti dan keperluan pasaran kerja semasa. – Nik Fauziliana Mohd Tamizi

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button