Education

Hidroponik Vertikal SULAM SOG Fasa 2 jadi pemangkin harapan baharu komuniti Felda Laka Selatan

Berita dan gambar Dr. Noranida Mokthsim

CHANGLUN, 22 Januari 2026: Program SULAM SOG Semester A251 Fasa 2 berkaitan Pemerkasaan Pertanian Hidroponik Vertikal telah dilaksanakan di Felda Laka Selatan bermula 24 November hingga 31 Disember tahun lalu.

Program yang melibatkan seramai 71 pelajar, dua pensyarah kursus dan bersama 40 komuniti penerima manfaat ini dilaksanakan di bawah kursus GMJTK3113 Pentadbiran Alam Sekitar, Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan dari Pusat Pengajian Kerajaan (SOG).

Pensyarah kursus, Dr. Noranida Mokthsim berkata, program ini selaras dengan pendekatan Service-Learning Malaysia University for Society (SULAM) yang mengintegrasikan pembelajaran akademik dengan khidmat kepada masyarakat.

Menurutnya, komuniti yang terlibat terdiri daripada peneroka Felda, suri rumah serta isi rumah berpendapatan RM2,000 ke bawah yang dikenal pasti sebagai kumpulan sasaran dalam usaha memperkasa ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup melalui aplikasi teknologi pertanian moden.

SULAM Fasa Ke-2 ini merupakan kesinambungan kepada SULAM Fasa Pertama yang telah dilaksanakan pada Semester A242, memfokuskan kepada pengenalan dan perkongsian ilmu berkaitan pertanian hidroponik vertikal, selain proses saringan peserta.

Daripada 80 komuniti yang ditemu bual, hanya 40 komuniti terpilih dipilih berdasarkan kesediaan dan kesesuaian pelaksanaan program di peringkat komuniti, manakala fasa kedua memberi penekanan kepada pelaksanaan praktikal penanaman sayur hidroponik secara vertikal, merangkumi fasa latihan kepada komuniti, semaian anak benih, penjagaan dan pengurusan tanaman serta penuaian hasil. Antara jenis sayuran yang diusahakan ialah bayam separuh merah, pak choy, sawi hijau kampung dan kailan yang sesuai dengan kaedah hidroponik serta mempunyai potensi nilai pasaran.

Secara keseluruhan, pelaksanaan SOG SULAM Fasa Ke-2 berkaitan Pemerkasaan Pertanian Hidroponik Vertikal telah memberi impak positif kepada komuniti dengan meningkatkan pengetahuan berkaitan pengurusan dan penjagaan alam sekitar, membantu menambah potensi pendapatan, serta menyokong aspirasi kerajaan dalam penerapan teknologi hijau dan pertanian mampan.

Program ini turut mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan graduan holistik yang berkeupayaan mengaplikasikan ilmu akademik untuk kesejahteraan masyarakat dan pembangunan lestari.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button