Literasi kewangan berlandaskan Maqasid Syariah beri pendedahan kepada warga PDRM
Berita dan gambar Dr. Muhammad Abrar Bahaman
IPOH, 22 Januari 2026: Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) UUM, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah menganjurkan Seminar Pengurusan Kewangan Islam Berlandaskan Maqasid Syariah.
Program ini telah disertai oleh 43 peserta yang terdiri daripada Pegawai Rendah Polis dan kakitangan Ibu Pejabat Polis (IPD) Ipoh.

Pengarah Program, Ashraf khalid Fazil yang juga pelajar Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam (BIFB) berkata, program ini bertujuan untuk memberi pendedahan ringkas dan terancang mengenai produk kewangan Islam, pengurusan hutang, perancangan kewangan keluarga dan kepentingan mengamalkan urus niaga patuh Syariah.
Menurutnya, seminar ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan literasi kewangan tetapi juga menyokong usaha memperkukuh integriti dan kesejahteraan kewangan dalam kalangan warga PDRM.
Katanya, kefahaman pengurusan kewangan yang baik dapat membantu meningkatkan fokus, prestasi kerja dan kualiti kehidupan peribadi anggota.

Majlis penutupan seminar ini disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah IPD Ipoh, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad.
Antara pengisian utama seminar termasuk perkongsian bertajuk “Pengurusan Kewangan Islam Berlandaskan Maqasid Syariah” yang disampaikan oleh Ustaz Ashraf Khalid Fazil, pelajar UUM merangkap pegawai di Unit Dakwah, Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS), IPD Ipoh.
Perkongsian ini menekankan kepentingan perancangan kewangan patuh Syariah dalam kehidupan seharian. Peserta turut didedahkan dengan latihan praktikal pengurusan perbelanjaan individu berdasarkan pendapatan bagi membentuk disiplin kewangan yang lebih sistematik.
Selain itu, sesi perkongsian oleh Ketua Cawangan AKPK Perak, Tung Ka Yin bertajuk “Urus Wang, Minda Tenang”. Tumpuan perkongsian adalah berkaitan pengurusan hutang, penyediaan bajet dan kaedah menangani tekanan kewangan. Sesi ini mendapat sambutan positif kerana menjelaskan fungsi dan peranan AKPK dalam pengurusan kewangan.

Seminar ini turut disertai oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Perak dalam menyampaikan maklumat mengenai skim-skim yang ditawarkan. Ini membantu para peserta mengetahui hak dan manfaat yang diterima sekiranya menyertai skim-skim di PERKESO.
Program seumpama ini dapat memberi impak jangka panjang dengan melahirkan warga IPD Ipoh yang celik kewangan, berintegriti serta mampu membuat keputusan kewangan yang bijak dan menepati prinsip Syariah.
Penganjuran seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform pendidikan kewangan yang berkesan kepada masyarakat khususnya penjawat awam.



