CEDI UUM pacu inovasi pelajar menerusi Program INSPIRE UKM
Berita dan gambar Akmal Ahlami Md Rozai
BANGI, 22 Januari 2026: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengambil bahagian dalam Program INSPIRE: Innovative Studentpreneurs for Impactful and Resilient Enterprises anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS (UKM-CESMED).
Sebagai sebahagian daripada fasa pembangunan program, pasukan UUM telah menyertai Sesi Bootcamp Program INSPIRE yang berlangsung dari 16 hingga 18 Januari lalu di Kolej Pendeta Za’ba, UKM Bangi, Selangor.

Penyertaan ini melibatkan pasukan pelajar UUM yang dibimbing oleh mentor akademik sebagai sebahagian daripada usaha berterusan CEDI UUM dalam memperkasakan pembangunan keusahawanan pelajar serta memperluas pendedahan mereka ke peringkat antara universiti.
Pasukan ini dibimbing oleh Prof. Madya Dr. Muhamad Ali Imran Kamarudin selaku mentor, manakala pelajar yang terlibat terdiri daripada Syarifah Majdina Syed Ismail, Nur Syuhada Thahira Mohammad Tahir, Alyaa Farihah Shamsudin dan Nuhananee Yuszini.
Dr. Muhamad Ali berkata, CEDI UUM menyertai program ini dengan penyertaan seramai empat pelajar yang bertanding dalam kategori kecantikan dan kesihatan.

Menurutnya, perniagaan yang diketengahkan dijalankan secara berkumpulan, melibatkan elemen inovasi sama ada dari segi produk atau perkhidmatan, operasi mahupun pemasaran, serta telah beroperasi melebihi tempoh tiga bulan.
“Sesi bootcamp ini bertujuan memperkukuhkan kefahaman peserta terhadap konsep inovasi perniagaan serta meningkatkan keupayaan mereka dalam membangunkan solusi perniagaan yang relevan, berimpak dan berdaya tahan,” katanya.
Program INSPIRE merupakan inisiatif berfokuskan pembangunan keusahawanan pelajar yang bertujuan menyediakan platform kepada usahawan muda universiti untuk mempamerkan dan mengembangkan perniagaan sedia ada dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Program ini menggalakkan usahawan pelajar atau studentpreneurs menerapkan elemen inovasi dan penambahbaikan perniagaan secara menyeluruh merangkumi aspek inovasi produk dan perkhidmatan, operasi dan aktiviti perniagaan, serta strategi pemasaran bagi memastikan perniagaan yang dibangunkan lebih berdaya saing, mampan dan berimpak.

Program bersifat pertandingan ini dilaksanakan secara berfasa bermula dengan fasa saringan, diikuti fasa pembangunan kapasiti melalui sesi bootcamp, fasa bimbingan dan mentoring, serta diakhiri dengan simposium dan majlis penutup. Empat kategori utama dipertandingkan iaitu kecantikan dan kesihatan, pendidikan, fesyen dan aksesori, serta kraftangan. Program ini bermula pada November 2025 dan dijadualkan berakhir pada Jun 2026 dengan penglibatan pelajar daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara.
Program bootcamp telah dimulakan dengan sesi aluan dan taklimat oleh Pengarah UKM-CESMED, Prof. Madya Dr. Muhamad Azry Khoiry yang menekankan kepentingan pembentukan minda inovator dan keupayaan usahawan pelajar untuk menyesuaikan perniagaan dengan perubahan persekitaran semasa.
Sepanjang program, peserta daripada IPTA, IPTS, kolej komuniti dan politeknik telah didedahkan kepada pelbagai modul berasaskan teori dan amali yang merangkumi diagnostik perniagaan dan pembentukan mindset inovator, pemikiran reka bentuk dalam merangka semula masalah berasaskan data, pembangunan inovasi produk dan sistem perkhidmatan melalui konsep Minimum Viable Product (MVP), inovasi operasi dan struktur bagi meningkatkan kecekapan, inovasi strategi pemasaran dan model pendapatan, serta integrasi inovasi, impak dan penyediaan pitch deck perniagaan.

Penyertaan pasukan UUM dalam Sesi Bootcamp Program INSPIRE ini memberikan manfaat yang signifikan kepada pelajar terlibat, khususnya dalam proses pembangunan projek dan produk yang akan diketengahkan ke peringkat seterusnya.
Secara keseluruhannya, penglibatan ini mencerminkan komitmen berterusan CEDI UUM dalam melahirkan usahawan pelajar yang holistik, inovatif dan berdaya saing, selari dengan aspirasi universiti untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara.



