Campus

Canselori dan Chance Club berbakti di bumi Pangkor

Gambar oleh Chance Club, Jabatan Canselori UUM

PANGKOR, 17 Januari 2026 – Seramai 34 orang Ahli Chance Club telah menyertai Program Pemantapan Kerja Berpasukan Staf Jabatan Canselori ke Arah Tadbir Urus Universiti Cemerlang dan Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) yang berlangsung di Pulau Pangkor, Perak.

Program anjuran Jabatan Canselori Universiti Utara Malaysia (UUM) ini turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Canselori UUM, Mohd Zulkifli Mohd Noor@Muhammad, dengan objektif memperkukuh semangat kerja berpasukan dalam kalangan staf serta menyokong pelaksanaan inisiatif USR universiti terhadap komuniti setempat.

Sepanjang program, para peserta terlibat dalam sesi refleksi diri yang memberi ruang untuk berkongsi pengalaman perkhidmatan di UUM di samping mengemukakan pandangan dan cadangan kepada pihak pengurusan sebagai usaha penambahbaikan jabatan secara berterusan.

Sebagai sebahagian daripada pengisian USR, para peserta turut melaksanakan aktiviti kemasyarakatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkor dengan penglibatan warga sekolah. Aktiviti yang dijalankan merangkumi kerja pengindahan landskap termasuk mengecat serta pembaikan kemudahan sekolah bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

Elemen pemindahan ilmu turut diberi penekanan melalui penganjuran Bengkel Videografi yang dikendalikan oleh wakil Unifilm Studio UUM di bawah pimpinan Pengarah, Bahiyah Md. Idris, bertujuan mendedahkan para pelajar kepada kemahiran asas penghasilan video dan kreativiti digital.

Selain itu, program ini turut diisi dengan aktiviti pembinaan dan pengukuhan kerja berpasukan melalui pelbagai aktiviti berkumpulan yang dirangka bagi meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerjasama dalam kalangan peserta.

Para peserta juga berpeluang mengikuti aktiviti riadah serta lawatan sekitar Pulau Pangkor bagi mengenali warisan, budaya dan kehidupan komuniti setempat. Antara lokasi yang dikunjungi termasuk Masjid Al-Khairiah @ Masjid 1000 Doa (Masjid Cina), Masjid Al-Badr 1000 Selawat (Masjid Terapung), Kota Belanda, Batu Bersurat Pangkor serta penempatan nelayan.

Secara keseluruhan, penganjuran program ini berjaya memperkukuh hubungan kerja berpasukan staf Jabatan Canselori di samping mencerminkan komitmen berterusan Universiti Utara Malaysia dalam menjayakan inisiatif USR yang memberi manfaat kepada masyarakat. – Abdul Amar Aris

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button