Usahawan pelajar UUM raih tempat ketiga naib johan PBS Vision X Business Challenge 2026
Berita dan gambar Akmal Ahlami Md Rozai
SERDANG, 25 Januari 2026: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus membuktikan peranan aktifnya dalam memperkasakan pembangunan keusahawanan pelajar dengan menghantar penyertaan pelajar ke peringkat akhir ‘PBS Vision X Business Challenge 2026’, pertandingan kebangsaan berprestij anjuran Putra Business School (PBS) dengan kerjasama PBS Student & Alumni Association (PSAA) yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.
UUM telah menghantar penyertaan pelajar bagi dua kategori utama pertandingan iaitu ‘60-Second Pitch’ dan ‘Grand Business Proposal’ dengan pencapaian membanggakan apabila tiga pasukan pelajar UUM berjaya mara ke peringkat akhir bagi kedua-dua kategori tersebut.

Penyertaan ini telah dibimbing oleh Prof. Madya Dr. Muhamad Ali Imran Kamarudin dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) selaku mentor, melibatkan pelajar Nuhananee Yuszini yang mewakili UUM dalam kategori Grand Business Proposal melalui projek Snackiez: PiChip, serta Muhammad Afiq Mazelan dan Danish Danial Zefree Zulkarnain yang bertanding dalam kategori 60-Second Pitch.
Pertandingan ini dinilai oleh barisan panel juri berpengalaman luas dalam bidang keusahawanan dan pelaburan, antaranya Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Aerodyne Group serta Profesor Amalan di PBS, Dato’ Kamarul A. Mohamed; Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif ZFounder, Tan Jin Chi; Pengarah Wezmart, Menns B. C. Teo dan Pegawai Program di 1337 Ventures, Low Ler Min.
Program dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PBS, Prof. Dr. Azmawani Abd Rahman yang menggalakkan peserta untuk memanfaatkan platform ini sebagai medan pembelajaran dan pengukuhan daya saing keusahawanan.

Hasil pembentangan yang meyakinkan serta idea perniagaan yang berdaya maju, pasukan UUM melalui projek Snackiez: PiChip telah meraih tempat ketiga naib johan bagi kategori Grand Business Proposal, sekali gus mengharumkan nama UUM di peringkat kebangsaan. Kejayaan ini mencerminkan keupayaan pelajar UUM untuk bersaing secara profesional dan setara dengan institusi lain dalam arena inovasi dan keusahawanan.
Penyertaan dan kejayaan ini selaras dengan aspirasi CEDI UUM dalam melahirkan graduan berdaya saing, berfikiran keusahawanan dan bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar. Program seperti ‘PBS Vision X Business Challenge 2026’ bukan sahaja memperkukuh kemahiran pembentangan dan pemikiran strategik pelajar, malah membuka ruang jaringan profesional serta pendedahan kepada ekosistem startup dan industri.
‘PBS Vision X Business Challenge 2026’ merupakan platform nasional yang menghimpunkan pelajar inovatif dan usahawan muda dari institusi pengajian tinggi seluruh negara untuk mengetengahkan idea perniagaan kreatif dan berimpak tinggi.

Pertandingan ini memberi peluang kepada peserta membentangkan cadangan perniagaan mereka kepada panel profesional industri serta merebut hadiah wang tunai dan pengiktirafan peringkat kebangsaan. Penyertaan dibuka kepada pelajar prasiswazah dan pascasiswazah dengan penekanan terhadap idea perniagaan yang bersifat skalabel, lestari dan memberi impak sosial yang signifikan.
CEDI UUM merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar yang terlibat atas komitmen dan pencapaian cemerlang ini, serta menghargai usaha pihak PBS dan UPM atas penganjuran program yang memberi impak signifikan kepada pembangunan bakat keusahawanan pelajar universiti.



