Campus

UUM jadi tuan rumah Mesyuarat JKTNCRA Universiti Awam Kali Ke-83

Gambar Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 26 Januari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Jawatankuasa Timbalan-Timbalan Naib Canselor/Rektor (Akademik dan Antarabangsa) (JKTNCRA) Universiti Awam Kali ke-83 (Bil. 1/2026) yang berlangsung secara hibrid di Bilik Senat, hari ini.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Prof. Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat yang merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sains Malaysia (USM) merangkap Pengerusi JKTNCRA Universiti Awam dan turut disertai Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Zainal Amin Ayub.

Antara agenda utama mesyuarat ialah perkongsian maklumat daripada Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi termasuk perkara berkaitan kemasukan pelajar IPTA dan pengantarabangsaan pendidikan tinggi. Mesyuarat turut menampilkan sesi perkongsian tentang Polisi Akademik Kecerdasan Buatan (AI) Universiti Malaya serta Garis Panduan Penggunaan AI Beretika sebagai usaha memperkukuhkan amalan akademik selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

Selain itu, mesyuarat telah mempertimbangkan cadangan kriteria pelantikan ahli panel penilai akreditasi bagi universiti berstatus swaakreditasi yang dibentangkan oleh Majlis Pengurusan Kualiti Universiti Awam (MPQ-UA) untuk kelulusan ahli mesyuarat.

Mesyuarat ini turut menjadi platform perkongsian kolaborasi strategik universiti awam bersama Ohio University, Amerika Syarikat.

Penganjuran mesyuarat ini mencerminkan komitmen berterusan universiti awam dalam memperkukuhkan tadbir urus akademik, meningkatkan kualiti pendidikan tinggi serta memperluas jaringan kerjasama antarabangsa.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani bersama 13 timbalan naib canselor universiti awam lain.

Terdahulu, semua Timbalan-timbalan Naib Canselor Universiti Awam bergambar kenangan bersama Naib Cansleor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed sebelum memulakan mesyuarat. – Mohd Azri Md Nadzir

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button