Education

Program STEM Ceria@SKDSN tingkat keyakinan dan pemikiran logik pelajar

Berita dan gambar Dr. Nur Azulia Kamarudin

SINTOK, 26 Januari 2026: Program STEM Ceria@SKDSN di bawah inisiatif STI 100³ Kitaran 2 berjaya dilaksanakan pada 9 Disember tahun lalu dengan penuh semangat melalui aktiviti pertama, “Ace of Math” melibatkan 50 pelajar Tahun 4 dan 5 dari Sekolah Kebangsaan Dato’ Syed Nahar.

Program ini merupakan usaha kolaboratif antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia, dan Sekolah Kebangsaan Dato’ Syed Nahar (SKDSN).

Aktiviti Ace of Math dirangka bagi meningkatkan keyakinan pelajar terhadap Matematik melalui permainan berasaskan strategi, pemikiran logik dan penyelesaian masalah secara kreatif. Pelajar turut diberi peluang bekerja secara berkumpulan, sekali gus mengasah kemahiran komunikasi dan kolaboratif yang penting dalam pembelajaran abad ke-21.

Program ini digerakkan oleh pasukan perunding SQS yang terdiri daripada Dr. Nur Azulia Kamarudin, Prof. Madya Dr. Sharmila Karim, Dr. Mohd Azri Pawan Teh, Dr. Nor Hisham Haron dan Dr. Rosmaini Kashim.

Guru Besar SKDSN, Sharinnizam Dun menzahirkan penghargaan kepada pihak UUM dan MOSTI atas kesudian membawa pengalaman STEM yang menyeronokkan ke sekolah.

Menurutnya, program seperti ini mampu membina keyakinan pelajar dan membuka perspektif baharu mengenai kepentingan Matematik dalam kehidupan seharian.

Sementara itu, Dr. Nur Azulia berkata, sesi refleksi pelajar turut memperlihatkan respons positif, dengan ramai pelajar menyatakan bahawa permainan Ace of Math membantu mereka memahami konsep nombor dengan lebih mudah dan menyeronokkan.

“Ada yang berkongsi bahawa ini merupakan kali pertama mereka berasa yakin menjawab soalan Matematik secara kompetitif tetapi santai,” katanya.

Program diakhiri dengan penyampaian hadiah sebagai penghargaan kepada peserta yang menunjukkan prestasi cemerlang dan semangat kesukanan yang tinggi.

Kerjasama erat antara MOSTI, SQS dan SKDSN diharapkan dapat diteruskan bagi memperluas akses program STEM kepada lebih banyak sekolah, sekali gus menanam minat berterusan terhadap bidang sains dan matematik dalam kalangan generasi muda.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button