Bengkel Penulisan Buku Teks tingkat mutu dan kualiti PdP
Berita dan gambar Nur Diyana Othman (PA Terhebat)
SINTOK, 28 Januari 2026: Pusat Asasi Pengurusan, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Penulisan Buku Teks Program Asasi Pengurusan di EDC-UUM, semalam.

Pengarah Pusat Asasi Pengurusan, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman berkata, penganjuran bengkel ini bertujuan untuk menyelaras kandungan modul serta memperkukuh kualiti penulisan buku teks bagi Program Asasi Pengurusan agar selari dengan keperluan kurikulum semasa dan standard akademik universiti.
Menurutnya, bengkel ini turut berfungsi sebagai platform perbincangan dan kolaborasi dalam kalangan pengarang modul bagi memastikan bahan pengajaran yang dihasilkan lebih tersusun, komprehensif dan berkesan.
“Terima kasih kepada semua pengarang modul atas komitmen serta kerjasama yang diberikan dalam menjayakan bengkel ini.
“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UUM dalam mempertingkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, khususnya di peringkat asasi,” katanya.

Beliau turut berharap agar hasil bengkel ini dapat menyumbang kepada penghasilan buku teks yang berkualiti tinggi, sekali gus menyokong keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran serta memperkukuh pencapaian akademik pelajar Program Asasi Pengurusan UUM.
Pelaksanaan bengkel Fasa III yang diketuai oleh Penyelaras Program PAP, Prof. Madya Ts. Dr. Juhaida Abu Bakar ini juga melibatkan pengarang modul daripada beberapa pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Pusat Pengajian Antarabangsa (SOL), Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) dan PAP.
Sepanjang bengkel berlangsung, peserta terlibat dalam sesi perbincangan, perkongsian pandangan serta penyelarasan kandungan bagi meningkatkan mutu dan keseragaman penulisan buku teks Program Asasi Pengurusan.



