CEDI dan ANGKASA perluas CLP 2026, sokong pelaksanaan Projek Sejati MADANI Koperasi
Gambar Muhammad Khairul Amri dan Shah Noor Afizah
KUALA LUMPUR, 29 Januari 2026: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) telah mengadakan mesyuarat penyelarasan bagi meneruskan kesinambungan pelaksanaan Cooperative Leadership Programme (CLP) bagi tahun 2026.
Mesyuarat Penyelarasan Program CLP 2026 yang telah diadakan semalam di Ibu Pejabat ANGKASA dengan tujuan membincangkan kaedah pelaksanaan program, skop kerjasama strategik antara CEDI UUM dan ANGKASA, serta mengenal pasti prospek kerjasama lain yang berpotensi untuk dilaksanakan sepanjang tahun 2026.

Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Pengurus Besar Kanan, Kumpulan Hubungan Strategik, ANGKASA, Dr. Salmah Ishak. Turut hadir mewakili CEDI UUM ialah Menjalankan Tugas Pengarah Eksekutif CEDI UUM, Dr. Juhaida Abu Bakar bersama pegawai dan staf CEDI.
Dr. Salmah berkata, Program CLP 2026 dirancang untuk diperluaskan pelaksanaannya dengan membuka penyertaan kepada anggota koperasi di seluruh negara yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan projek SejaTi MADANI Koperasi.
Menurutnya, bagi tahun 2026, sebanyak 37 projek SejaTi MADANI Koperasi baharu akan dilaksanakan oleh koperasi dan diselia oleh ANGKASA merangkumi pelbagai bidang strategik seperti ternakan ikan tilapia dan ikan keli, fertigasi cili, spa kecantikan, penambahbaikan infrastruktur perniagaan koperasi, serta jualan hasil masyarakat Orang Asli di pedalaman Sabah dan Sarawak.
“Inisiatif ini bertujuan memperkasakan ekonomi koperasi tempatan serta meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.

“Sehubungan itu, pihak ANGKASA telah mempelawa CEDI UUM untuk menyediakan program latihan khusus bagi memperkasakan kemahiran pelaksana projek koperasi menerusi tema “Strategi Pengurusan Projek Berkesan”. CLP 2026 akan merangkumi modul komprehensif melibatkan aspek Pengurusan Kewangan dan Risiko, Perancangan Projek, Pelaksanaan, Penilaian, Pemantauan serta Pelaporan Projek yang dirangka secara sistematik dan praktikal,” katanya.
Sementara itu, Dr. Juhaida berkata, objektif utama pelaksanaan CLP 2026 adalah untuk memperkasa kepimpinan profesional dalam kalangan anggota koperasi, memastikan perancangan projek yang cekap dan menepati sasaran, meningkatkan keberkesanan serta keberuntungan projek, di samping menjamin kelestarian (sustainability) projek koperasi yang dilaksanakan.

Dari segi kaedah pelaksanaan, CLP 2026 akan menggabungkan kuliah dan bengkel interaktif, sesi perkongsian amalan terbaik (best practices) daripada pemain industri terkemuka, serta lawatan penanda aras antarabangsa ke koperasi terkemuka di Thailand bagi memberi pendedahan global kepada peserta.
CLP 2026 dijangka berlangsung pada bulan Ogos 2026 dengan sasaran penyertaan seramai 60 peserta yang akan dibahagikan kepada dua siri pelaksanaan yang berbeza.
Kerjasama strategik antara CEDI UUM dan ANGKASA ini diharap dapat terus memperkukuhkan agenda pembangunan kepimpinan koperasi negara secara berstruktur, berimpak tinggi dan berteraskan ilmu. – Akmal Ahlami Md Rozai



