UUM tingkat keterlihatan ilmuan, kebajikan warga kampus dan ekosistem lestari
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 2 Februari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) menekankan usaha untuk keterlihatan ilmuan universiti di peringkat nasional dan antarabangsa, selain menekankan kesejahteraan warga kampus dan pembangunan ekosistem lestari.
Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, setiap pusat pengajian mahupun pusat tanggungjawab perlu memastikan pakar akademik universiti sentiasa menjadi rujukan utama dalam bidang masing-masing.

“Kalau ada isu antarabangsa, orang akan merujuk kepada pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa. Jika hal Undang-Undang, orang ramai akan mencari pensyarah undang-undang. Isu kewangan, pakar kewangan; isu muamalah, pakar muamalah. Ilmuan kita perlu diangkat agar kepakaran mereka diketahui ramai.
“Selain itu, kebajikan dan kesejahteraan warga kampus turut diberi perhatian serius,” katanya dalam Majlis Amanat Naib Canselor di EDC-UUM, hari ini.
Di samping itu juga, UUM telah menetapkan setiap hari Selasa sebulan sekali sebagai waktu tanpa mesyuarat bagi memberi ruang kepada staf dan pelajar berehat melalui aktiviti kesihatan seperti himpunan berjalan sejauh 3.8 kilometer.
Dr. Ahmad Martadha berkata, UUM juga turut menekankan pentingnya menjaga kesejahteraan staf, termasuk ziarah kepada staf yang sakit dan mengurangkan tekanan kerja.
Untuk pembangunan pelajar secara holistik pula, katanya, pelajar UUM akan dilengkapi dengan sekurang-kurangnya satu sijil profesional untuk meningkatkan nilai pasaran mereka, selain memantapkan jaringan kolaborasi universiti, industri dan komuniti.

“UUM juga menekankan pembinaan aliran kerja organisasi yang tangkas dan adaptif, pengurangan penggunaan kertas melalui teknologi, serta mesyuarat tidak melebihi tiga jam. Integrasi kecerdasan buatan (AI) dalam kurikulum dan kerja universiti turut menjadi agenda penting bagi memodenkan ekosistem pendidikan,” katanya.
Selain itu, katanya, universiti akan terus menyokong usaha kelestarian dengan menanam pokok di kampus selaras dengan sasaran negeri Kedah menanam 2.2 juta pokok.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) merangkap Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad; Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah serta Bursar, Mohtar Hasim.



