Profesor dan Sarjana UUM berkongsi kupasan dalam Program Karisma Pemimpin Muda MADANI 2026
Gambar Sekretariat USM
PULAU PINANG, 3 Februari 2026: Profesor dan sarjana Universiti Utara Malaysia (UUM) berkongsi pandangan serta kupasan strategik dalam Program Karisma Pemimpin Muda MADANI 2026 yang berlangsung pada 28 Januari lalu di Universiti Sains Malaysia (USM).
Dekan Pusat Pengajian Kewangan, Ekonomi dan Perbankan (SEFB), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri berkata, forum ini bertujuan untuk menerangkan secara ringkas Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 kepada pensyarah dan pemimpin muda, khususnya dalam memahami intipati serta hala tuju dasar pendidikan tinggi negara bagi memastikan agenda transformasi pendidikan tinggi dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Antara tokoh akademik yang menjadi tumpuan ialah Prof. Dr. Russayani Ismail dan Prof. Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin yang kedua-duanya merupakan sarjana akademik dari SEFB, UUM.
Perkongsian mereka menekankan peranan strategik warga akademik dan pemimpin muda IPT dalam menterjemahkan aspirasi RPTM 2026–2035 ke dalam pelaksanaan dasar, pengajaran, penyelidikan dan pembangunan modal insan.
Melalui sesi forum dan perbincangan panel, peserta didedahkan kepada kepentingan kefahaman menyeluruh terhadap perancangan jangka panjang pendidikan tinggi agar inisiatif yang dilaksanakan selari dengan kerangka MADANI serta keperluan semasa dan masa hadapan negara.
Program ini sekali gus menjadi platform wacana ilmu yang memperkukuhkan jaringan akademik dan kepimpinan, selain menyokong usaha melahirkan pemimpin muda yang berwibawa, berpengetahuan dan berdaya saing dalam ekosistem pendidikan tinggi negara. – M. Khairy Mukhtaruddin



