STHEM bantu Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS) laksanakan acara hijau
Gambar oleh STHEM
SINTOK, 4 Februari 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Event Management, Training, Research, Activities and Consultation (EMTRAC) telah menganjurkan Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Acara Hijau kepada Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS), Shah Alam sebagai penghargaan atas kejayaan masjid tersebut melaksanakan amalan pengurusan acara hijau sempena penganjuran Hari Terbuka Masjid (Open Mosque Day) pada 20 Disember 2025 yang lalu.

Majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Andaman, STHEM itu telah dihadiri oleh wakil pihak masjid iaitu Dato’ Muhammad Farhan bin Wijaya, Sahibul Fadhilah Imam Besar MSSAAS, serta Ustaz Mohd Luqman Hakkim bin Rizuan, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, MSSAAS.
Sijil Pengiktirafan Acara Hijau telah disampaikan oleh Dekan STHEM, Prof. Madya Dr. Kamal Izzuwan Ramli kepada Dato’ Muhammad Farhan bin Wijaya sebagai simbol pengiktirafan terhadap komitmen dan kepimpinan pihak masjid dalam menyokong amalan kelestarian alam sekitar.
Turut hadir Dr. Lina Munirah Kamarudin, Pengerusi, EMTRAC, Dr. Asmahany Ramely selaku Konsultan Acara Hijau STHEM serta ahli EMTRAC yang lain.

Konsultan Acara Hijau STHEM iaitu Dr. Asmahany Ramely menyarankan agar semua organisasi, khususnya institusi awam, masjid, penganjur acara dan organisasi komuniti, mengintegrasikan prinsip amalan Acara Hijau dalam perancangan dan penganjuran program masing-masing.
“Pelaksanaan amalan ini bukan sahaja mampu mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar, malah turut menyumbang kepada penjimatan kos jangka panjang, peningkatan kecekapan pengurusan acara, serta pengukuhan imej organisasi sebagai entiti yang bertanggungjawab dan berdaya lestari”, ujar beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan Acara Hijau yang praktikal dan berperingkat dapat membantu organisasi beralih daripada kesedaran kepada pelaksanaan sebenar, tanpa membebankan operasi sedia ada.

Pengiktirafan ini diberikan berdasarkan penilaian pelaksanaan amalan Acara Hijau yang merangkumi aspek pengurusan sisa, penggunaan air dan tenaga, pengangkutan, komunikasi serta perolehan secara lestari, selaras dengan kerangka Green Event Certification Guide (GECG) yang dibangunkan oleh STHEM, UUM pada 11 Februari 2019 (No. Pendaftaran: LY2019000381).
Inisiatif ini mencerminkan peranan masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah, malah sebagai institusi komuniti yang berupaya memimpin contoh amalan lestari dan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
Sehubungan itu, STHEM menerusi EMTRAC berharap agar pengiktirafan ini dapat menjadi contoh dan galakan kepada masjid serta organisasi lain untuk mengadaptasi amalan pengurusan acara hijau dalam penganjuran program masing-masing.
Bagi pihak yang berminat untuk mendapatkan Sijil Pengiktirafan Acara Hijau, boleh menghubungi Dr. Asmahany Ramely di talian 016-303 2611 untuk maklumat lanjut. – Dr. Asmahany binti Ramely



