Campus

UUM tuan rumah MAKLUM 2026 perkukuh latihan kepimpinan mahasiswa UA

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 8 Februari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjadi tuan rumah Mesyuarat Majlis Kepimpinan dan Latihan Universiti Awam Malaysia (MAKLUM) yang melibatkan penyertaan wakil kepimpinan universiti awam dari seluruh negara.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM.

Dr. Ram berkata, mesyuarat ini berperanan sebagai platform penting dalam membincangkan perancangan serta pelaksanaan program pembangunan kepimpinan mahasiswa di peringkat universiti awam.

Program MAKLUM dilaksanakan secara berkala sebanyak dua kali setahun bagi memastikan penyelarasan serta keberkesanan pelaksanaan aktiviti dapat dicapai secara menyeluruh.

Antara pengisian utama mesyuarat ialah pembentangan Laporan iFuture 2023 yang merangkumi perkembangan serta pencapaian program kepimpinan mahasiswa.

Selain itu, beberapa program utama turut dibincangkan termasuk Program Mahasiswa Negara KPT, Program Inspirasi Varsiti yang menyasarkan penyertaan seramai 200 pelajar universiti awam, Training of Trainers (TOT), Himpunan Mahasiswa Negara, serta program GSLS dan iFuture.

Selepas sesi mesyuarat, peserta meneruskan pengisian melalui Bengkel Program MAKLUM 2026 yang memberi tumpuan kepada perancangan aktiviti serta hala tuju latihan kepimpinan bagi tahun semasa.

Bengkel tersebut telah dihadiri oleh seramai 20 wakil dari setiap universiti awam, sekali gus memperkukuhkan kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi awam di Malaysia.

Mesyuarat dan bengkel ini telah diadakan di Dewan Sri Angsana, EDC–UUM dan berlangsung selama tiga hari bermula 5 hingga 8 Februari 2026. – Noor Zafiera Ahmad Idris (Pelajar Praktikum JKK)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button