RM224,000 fidyah disalurkan kepada pelajar asnaf Kedah di UUM
Berita dan gambar Muhammad Syazwan Menon
ALOR SETAR, 8 Februari 2026: Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah telah berkenan menyempurnakan Majlis Pengurniaan Agihan Fidyah 2026/1447H yang diadakan di Puteri Palmera Glass Hall, Jalan Titi Haji Idris, Langgar pada Khamis lalu.

Program anjuran Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) itu bertujuan menyalurkan dana fidyah yang dikumpulkan kepada golongan yang memerlukan, khususnya dalam bidang pendidikan di negeri ini.
Pada majlis tersebut, Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima sumbangan berjumlah RM224,000 yang diserahkan kepada Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md Sabri mewakili Naib Canselor UUM.
Mohd Yusnaidi berkata, dana tersebut akan diagihkan kepada 200 pelajar asnaf kelahiran Kedah yang sedang menuntut di UUM.
Menurutnya, setiap pelajar dijangka menerima bantuan bagi meringankan kos sara hidup, terutama bagi keperluan makanan.

“Pihak UUM amat menghargai keprihatinan DYTM Raja Muda Kedah dan MAIK terhadap kebajikan pelajar asnaf.
“Kami sangat bersyukur atas kepercayaan yang diberikan. Bantuan fidyah ini bukan sahaja mengurangkan beban kewangan, tetapi turut menjadi penyuntik semangat kepada pelajar untuk terus fokus dalam pengajian tanpa memikirkan kekangan kewangan supaya kemiskinan tidak menjadi halangan untuk mereka mencapai kecemerlangan,” katanya.
Beliau turut berharap bantuan tersebut dapat membantu melahirkan graduan yang berjaya, sekali gus membolehkan mereka menyumbang kembali kepada institusi zakat dan fidyah di negeri Kedah pada masa hadapan.
Majlis diakhiri dengan sesi ramah mesra antara DYTM Raja Muda Kedah bersama penerima manfaat dan wakil institusi, sebelum diteruskan dengan sidang media bersama wartawan tempatan.



