Alumni sulung EdD Pendidikan Islam terima Anugerah Inovasi Kebangsaan KPM
Berita dan gambar Dr. Ismail Salleh
KUALA LUMPUR, 8 Februari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi mencatat kebanggaan apabila seorang alumni sulung Doktor Pendidikan (EdD) pengkhususan Pendidikan Islam, Dr. Ismail Salleh telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Beliau menerima pengiktirafan berprestij tersebut daripada Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato’ Dr. Mohd Azam Ahmad sempena Majlis Apresiasi Guru Cemerlang Peringkat Kebangsaan yang telah diadakan pada 31 Januari lalu di Hotel Melia.

Pencapaian ini dianugerahkan atas kecemerlangan inovasi pendidikan berasaskan penyelidikan melalui tesis EdD beliau yang bertajuk “Pembangunan Aplikasi Smart al-Q dalam Pembelajaran Hifz al-Quran bagi Program Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Zon Utara yang memberi sumbangan signifikan dalam memperkasakan pembelajaran hafazan al-Quran melalui penggunaan teknologi digital.
Kajian tersebut telah diselia oleh Dekan Pusat Pengajian Pendidikan, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman bersama Dr. Mohd Aliff Mohd Nawi yang kini sedang menjalani PostDoc Pendidikan Islam di University of Tuebingen, German tumpuan bidang Prophetic Pedagogy.

Dr. Mohamad Khairi berkata, anugerah yang diterima oleh Dr. Ismail bukan sahaja membuktikan keupayaan beliau sebagai pendidik dan penyelidik yang inovatif, malah mencerminkan komitmen Universiti Utara Malaysia dalam melahirkan graduan yang mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan pendidikan negara.
“Inovasi aplikasi Smart al-Q yang dibangunkan melalui penyelidikan beliau merupakan satu pendekatan progresif dalam memperkasa pembelajaran hafazan al-Quran berasaskan teknologi digital, sejajar dengan keperluan pendidikan semasa,” katanya.
Dr. Ismail turut menzahirkan penghargaan kepada pihak sekolah, komuniti pendidikan tahfiz serta penyeliaan akademik yang mantap, yang telah menyokong kejayaan penyelidikan tersebut.

Kejayaan ini membuktikan keupayaan Guru Cemerlang Hifz al-Quran dalam mengintegrasikan penyelidikan, inovasi, dan amalan pendidikan Islam, sekali gus mengharumkan nama SMKA Kedah (TMUA) serta Universiti Utara Malaysia di peringkat kebangsaan dan global.
Penerima anugerah tersebut merupakan Guru Cemerlang Hifz al-Quran di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah, Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) telah bergraduasi pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia ke-38 yang berlangsung pada 9 hingga 13 November lalu.



