Education

SQS tutup tirai Program STI 100³ QUANTIQUEST bersama Murid SK Guar Napai

Gambar Wan Huda Faqihah Mohamad Rizal

SINTOK, 8 Februari 2026: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia telah menutup tirai Program STI 100³ – QUANTIQUEST: Siri Aktiviti STEM Universiti–Sekolah, satu inisiatif pemupukan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang melibatkan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Napai pada 3 Februari lalu.

Program berfasa ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Program STI 100³ yang bertujuan memupuk minat awal murid terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) menggunakan pendekatan pembelajaran hands-on, interaktif dan menyeronokkan.

Sepanjang pelaksanaannya, QUANTIQUEST merangkumi tiga aktiviti utama yang dijalankan secara berperingkat. Aktiviti pertama, CUBEQUEST: Division Challenge, telah dilaksanakan pada 17 Disember 2025 di SK Guar Napai, diikuti DATAQUEST: Cabaran Pengurusan Data pada 13 Januari 2026. Program ini diakhiri dengan GEOMETRIQUEST: Kira & Ukur di Sekeliling Anda (STEM@UUM) yang berlangsung di UUM.

Ketua Program STI 100³, Dr. Nurul Nazihah Hawari berkata, program ini bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada konsep asas STEM, malah turut menggalakkan pemikiran kritis, penyelesaian masalah, kerja berpasukan serta keyakinan diri dalam kalangan murid.

Menurutnya, penyertaan secara aktif dan respons positif daripada murid-murid membuktikan keberkesanan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang diterapkan sepanjang program.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak sekolah, khususnya guru besar dan barisan guru SK Guar Napai atas komitmen serta kerjasama erat yang diberikan.

“Penghargaan turut ditujukan kepada MOSTI, pasukan saintis SQS, Prof. Madya Dr. Aida Mauziah Benjamin, Dr. Wan Laailatul Hanim Mat Desa, Prof. Madya Dr. Nazihah Ahmad, Dr. Mohd Aamir Adeeb Abdul Rahim serta barisan fasilitator yang telah menjayakan keseluruhan siri aktiviti ini,” katanya.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam memperkukuhkan jaringan universiti–komuniti, di samping menyokong agenda pembudayaan STI negara dan pembangunan generasi muda yang berdaya saing serta celik STEM. – Dr. Nurul Nazihah Hawari

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button