CONNECT-ED: Inisiatif kolaboratif SOE perkasa transformasi pengajaran Nordic International University
Gambar Muhammad Azhar Kamaruzaman
SINTOK, 9 Februari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM), melalui Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) telah melaksanakan program konsultasi Collaborative Network for Nurturing Capacity and Teaching Transformation for Educators (CONNECT-ED) bersama 12 tenaga pengajar dari Nordic International University (NIU), Tashkent, Uzbekistan dari 11 hingga 25 Januari lalu.

CONNECT-ED merupakan inisiatif profesional yang menggabungkan khidmat konsultasi dan latihan berstruktur untuk tenaga pengajar NIU. Antara modul utama yang dilaksanakan sepanjang program ialah Digital Pedagogy, Assessment for Learning, Student-Centred Learning dan Instructional Leadership yang direka khusus bagi memperkukuhkan kemahiran pedagogi dan menyokong transformasi pengajaran secara menyeluruh.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Dekan SOE, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman yang menyambut baik kehadiran delegasi NIU.

Menurutnya, Pusat Pengajian Pendidikan mengalu-alukan kedatangan delegasi Nordic International University dan berharap program ini bersama pakar-pakar dari UUM dapat dimanfaatkan sepenuhnya serta mengeratkan jaringan akademik antarabangsa.
Katanya, program ini bertujuan memperkukuhkan kapasiti pengajaran dan transformasi pedagogi di peringkat institusi melalui pendekatan kolaboratif dan berstruktur telah memanfaatkan kepakaran pensyarah UUM secara optimum.
“Program ini menekankan penggunaan pedagogi digital, pendekatan pembelajaran berasaskan masalah, serta amalan penilaian autentik yang menghubungkan hasil pembelajaran dengan strategi pengajaran secara efektif,” katanya.
Sepanjang dua minggu program, peserta NIU telah menghadiri siri bengkel latihan pakar, sesi konsultasi berstruktur, aktiviti refleksi profesional, lawatan institusi, dan dialog profesional, yang dikendalikan oleh pasukan konsultasi UUM di bawah pimpinan Prof. Madya Dr. Hasniza Nordin.

Dr. Hasniza berkata, peserta dari NIU turut menerima bimbingan tentang strategi pengajaran dan penilaian inovatif yang disesuaikan dengan konteks institusi mereka, sejajar dengan matlamat CONNECT-ED untuk menghasilkan transformasi pengajaran yang berimpak tinggi.
Selain aktiviti akademik, delegasi juga berpeluang mendalami budaya Malaysia melalui lawatan ke beberapa lokasi di Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis. Aktiviti lawatan kampus termasuk Perpustakaan Sultanah Bahiyah dan Akademi Golf UUM yang memberikan pengalaman lebih bermakna serta pemahaman tentang suasana akademik dan kehidupan kampus di Malaysia.
Majlis penutup program CONNECT-ED telah diadakan pada 22 Januari dimulakan dengan sesi penyampaian sijil penyertaan dan pengiktirafan kepada peserta sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen mereka sepanjang program.

Majlis kemudian diserikan dengan persembahan tarian dan nyanyian lagu tradisional oleh murid-murid dari Sekolah Kebangsaan Jitra 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra menjadikan penutup program lebih bermakna dan sarat dengan nilai budaya.
Kejayaan projek ini menandakan satu langkah penting dalam pengukuhan jaringan akademik antara UUM dan NIU serta memperkukuhkan komitmen kedua-dua universiti dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pembangunan profesional akademik secara berterusan.
Program CONNECT-ED juga menjadi contoh cemerlang bagaimana kolaborasi antarabangsa dapat memacu inovasi pedagogi yang berkesan dan lestari. – Prof. Madya Dr. Hasniza Nordin



