Pelajar UUM pacu transformasi digital di Pulau Tuba melalui Sistem Tempahan BESTUBA
Berita dan gambar Suwannit Chareen Chit a/l Sop Chit
LANGKAWI, 9 Februari 2026: Tiga pelajar Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melakar kejayaan membanggakan apabila berjaya merealisasikan inisiatif pendigitalan di Pulau Tuba melalui pembangunan sistem tempahan dalam talian.
Pelajar terbabit, Khairun Nisaa Dawi Cahyono, Nurmizan Qistina Hairudin dan Nurin Izzati Zaidi telah membangunkan kemudahan tempahan bagi Chalet BESTUBA, hasil kolaborasi strategik bersama Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba dan Selat (BESTUBA) yang diterajui oleh Pengerusinya, Mohd. Fazlan Nor.

Projek ini telah dilaksanakan di bawah bimbingan dan seliaan pakar dari Makmal MCMC-UUM MakerSpace iaitu Prof. Madya Dr. Massudi Madmuddin, Suwannit Chareen Chit dan Ahmad Hanis Mohd Shabli.
Dr. Massudi Madmuddin berkata, melalui inovasi ini, pelancong kini boleh membuat tempahan penginapan dengan lebih mudah dan pantas melalui laman web rasmi di www.bestuba.my.
Menurutnya, usaha ini dijangka akan meningkatkan daya saing pelancongan di Pulau Tuba serta memperkasakan ekonomi komuniti setempat melalui teknologi digital.
Katanya, usaha pendigitalan ini bukan sekadar projek bermusim, malah ia merupakan proses yang akan diteruskan secara mampan.

“Inisiatif ini adalah selari dengan strategi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang berkaitan, khususnya dalam merapatkan jurang digital dan memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif.
“Pihak universiti komited untuk terus menyokong komuniti melalui pemindahan ilmu dan teknologi, selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan masyarakat yang celik digital,” katanya.
Kejayaan ini membuktikan kemampuan pelajar dalam memberikan impak nyata kepada masyarakat, sekali gus meletakkan Pulau Tuba sebagai destinasi pelancongan yang kini lebih sedia mendepani arus transformasi digital.



