Education

SOL dan Advocates Association of Sarawak bangunkan kolaborasi akademik strategik

Gambar Prof. Madya Dr. Mohammad Azam Hussain

KUCHING, 10 Februari 2026: Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan sesi perbincangan strategik bersama Advocates Association of Sarawak yang berlangsung di The Common, The Old Court House, baru-baru ini.

Perbincangan itu dihadiri oleh delegasi Pusat Pengajian Undang-Undang UUM yang diketuai oleh Penolong Naib Canselor COLGIS selaku Dekan, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab bersama Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah serta Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Dr. Mohammad Azam Hussain.

Sementara Advocates Association of Sarawak diwakili oleh Presiden, Gurvir Singh Sandhu bersama Timbalan Presiden, Timothy Lim Teng (Sibu).

Dr. Harlida berkata, perbincangan tertumpu kepada kolaborasi strategik antara akademia dan badan profesional undang-undang, termasuk penganjuran seminar, wacana ilmiah dan program perkongsian kepakaran yang melibatkan pensyarah, peguam serta pelajar undang-undang.

Selain itu, sesi itu turut membincangkan pelbagai isu berkaitan hubungan akademik dengan badan profesional, termasuk peluang kolaborasi dalam pembangunan akademik, pendedahan profesion undang-undang kepada pelajar serta pengukuhan jaringan antara universiti dan komuniti perundangan dengan memberi tumpuan juga kepada komuniti di Sarawak.

Gurvir berkata, Advocates Association of Sarawak menyatakan keterujaan dan sokongan positif terhadap cadangan kolaborasi yang dibentangkan serta menyambut baik usaha memperkukuhkan hubungan strategik antara institusi pendidikan dan badan profesional perundangan.

Perbincangan ini diyakini akan menjadi titik tolak kepada kerjasama berterusan pada masa hadapan, sejajar dengan usaha memperkasa pendidikan undang-undang serta pembangunan profesional dalam sektor perundangan di Sarawak dan Semenanjung Malaysia. – Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button