Campus

Kesinambungan kepimpinan IPDM terus diperkukuh

Gambar IPDM

SINTOK, 10 Februari 2026: Dalam suasana penuh tertib dan kekeluargaan, Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Majlis Sanjungan Budi Sejuta Kenangan iaitu sesi serahan tugas Pengarah IPDM yang menyaksikan penyerahan kepimpinan daripada Prof. Ts. Dr. Ariffin Abdul Mutalib kepada Prof. Madya Dr. Mohd Khairudin Kasiran di Bilik Mesyuarat IPDM.

Penyerahan ini menjadi simbol kesinambungan kepimpinan dan komitmen berterusan IPDM sebagai salah sebuah Pusat Kecemerlangan di Universiti Utara Malaysia.

Dr. Ariffin menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada seluruh warga IPDM yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang tempoh beliau menerajui institut tersebut.

Menurutnya, kejayaan dan kelangsungan IPDM bukan hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya terhasil daripada kerjasama berpasukan yang utuh dalam kalangan staf.

Beliau turut berkongsi bahawa sepanjang kepimpinan beliau, IPDM telah berusaha memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada wacana pemikiran, kepimpinan dan dasar negara. Justeru, beliau menegaskan bahawa adalah tidak adil sekiranya sumbangan IPDM dinilai hanya berdasarkan hasil yang bersifat segera, sedangkan usaha membina pemikiran dan idea memerlukan masa serta kesabaran.

Dr. Ariffin juga menyatakan rasa seronok dan berbesar hati dapat berkhidmat di IPDM.

Dalam pesanan penuh makna, beliau mengajak warga IPDM agar terus memanfaatkan nasihat serta tunjuk ajar yang telah dikongsikan demi meningkatkan prestasi institut sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan bertaraf universiti serta memelihara dan menyuburkan nilai kekeluargaan yang menjadi kekuatan utama IPDM.

Pada masa sama, beliau merakamkan doa dan harapan agar Dr. Mohd Khairudin mampu memimpin IPDM ke arah tahap kecemerlangan yang lebih tinggi dan berimpak.

Sementara itu, Dr. Khairudin dalam ucapan menyatakan rasa terharu dan berterima kasih atas kepercayaan pihak pengurusan universiti kepadanya untuk menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah IPDM.

Beliau menegaskan bahawa pelantikan tersebut bukan sekadar satu jawatan, sebaliknya satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh keinsafan, apatah lagi IPDM membawa nama tokoh negarawan ulung negara, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi yang menyentuh hati, apabila mengimbau kembali bagaimana polisi penghantaran pelajar keluar negara, Tun telah membuka peluang untuk kejayaan kerjayanya hingga sekarang.

Menurutnya, kejayaan dan kedudukan yang dikecapi hari ini bermula daripada peluang pendidikan di Kolej Pengajian Persediaan, Institut Teknologi Mara (KPP/ITM), yang merupakan satu inisiatif cetusan Tun Dr. Mahathir bagi mengangkat martabat anak bangsa dalam Pendidikan.

“Saya berharap agar Prof. Ariffin tidak memutuskan hubungan dengan IPDM, sebaliknya dapat terus bersama sebagai Felo IPDM, bagi menyumbang kepakaran, pengalaman dan kebijaksanaan demi pembangunan berterusan IPDM,” katanya.

Majlis ini bukan sahaja menandakan pertukaran kepimpinan, malah mencerminkan komitmen IPDM untuk terus melangkah ke hadapan berlandaskan nilai ilmu, kebersamaan dan kecemerlangan demi manfaat universiti dan negara. – Mohammad Taufiq Othman

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button