Dua pensyarah SAPSP sertai World Education Expo 2026 kukuh jaringan antarabangsa
Berita dan gambar Dr. Suzila Ismail dan Dr. Teoh Ai Hua
MANILA, 11 Februari 2026: Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai World Education Expo 2026 yang berlangsung di Filipina dari 2 hingga 4 Februari lalu sebagai usaha memperkukuhkan jaringan antarabangsa serta mempromosikan Universiti Utara Malaysia di peringkat global.
Penyertaan SAPSP diwakili oleh Dr. Suzila Ismail dan Dr. Teoh Ai Hua sebagai sebahagian daripada delegasi Malaysia yang melibatkan Universiti Utara Malaysia dan tiga buah institut pengajian tinggi swasta di bawah pimpinan Education Malaysia Global Services (EMGS).

World Education Expo 2026 telah diadakan pada 3 Februari bertempat di Dusit Thani Hotel, Manila dan menghimpunkan penyertaan pelbagai institusi pendidikan antarabangsa.
Penyertaan ini memberi peluang kepada SAPSP dan UUM untuk mempromosikan program pengajian yang ditawarkan oleh Universiti Utara Malaysia merangkumi peringkat prasiswazah dan pascasiswazah.
Dr. Teoh Ai Hua berkata, penyertaan dalam World Education Expo 2026 bukan sahaja memberi pendedahan antarabangsa kepada UUM, malah membuka peluang kerjasama akademik dengan institusi pendidikan tinggi di Filipina.

Selain menyertai pameran pendidikan tersebut, delegasi Malaysia turut mengadakan kunjungan hormat ke Commission on Higher Education (CHED) di Quezon City pada 2 Februari 2026. Kunjungan tersebut telah disambut oleh Dr. Shirley C. Agrupis, Chairperson of CHED.
Delegasi Malaysia juga telah menyertai forum anjuran CHED yang menghimpunkan wakil daripada beberapa buah universiti Filipina, sekali gus membuka ruang perbincangan mengenai potensi kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi kedua-dua negara.
Dalam rangka lawatan rasmi ini, delegasi Malaysia turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke Filipina, Dato’ Abdul Malik Melvin Castelino di Kedutaan Malaysia di Manila bagi mendapatkan sokongan terhadap usaha mempromosikan pendidikan tinggi Malaysia di Filipina serta memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Selain itu, delegasi Malaysia turut mengadakan lawatan kerja ke University of Philippines (UP) at Diliman dan Miriam College bagi meneroka peluang kerjasama akademik.

Secara berasingan, Dr. Teoh Ai Hua turut mengadakan lawatan dan perbincangan dengan College of Social Work and Community Development, University of Philippines (UP) yang memfokuskan kepada potensi kerjasama dalam bidang kerja sosial dan pembangunan komuniti.
Penyertaan SAPSP dalam World Education Expo 2026 ini selari dengan komitmen Universiti Utara Malaysia untuk terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan, memperluas promosi program pengajian UUM, serta meningkatkan keterlihatan universiti di peringkat antarabangsa.



