Rangka pembangunan bakat mahasiswa global melalui program mobiliti inbound
Berita dan gambar oleh Biro Media dan Publisiti Jawatankuasa Kepimpinan Pembangunan Siswa dan Residen Siswa
INASIS Proton UUM
SINTOK, 13 Februari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Inapan Siswa Proton telah menganjurkan International Inbound Mobility Programme bertemakan Merangka Peradaban Global melalui Kelestarian Ilmu (MPGKI) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universitas Swadaya Gunung Jati (UGJ), Indonesia. Program ini berlangsung dari 4 hingga 17 Februari 2026.

Penganjuran program ini memberi tumpuan kepada pembangunan bakat mahasiswa secara holistik melalui pendedahan akademik rentas negara, pemerkasaan kemahiran insaniah serta pembentukan kepimpinan dan kompetensi global dalam kalangan peserta tempatan dan antarabangsa.
Sepanjang program, pelbagai aktiviti berimpak tinggi telah dilaksanakan merangkumi sesi perkongsian akademik, diskusi rentas budaya, lawatan institusi serta penglibatan komuniti. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman ini bertujuan memperkaya kefahaman peserta terhadap sistem pendidikan tinggi, budaya tempatan serta nilai sejagat yang menyokong pembinaan peradaban ilmu yang mampan.

Menurut Pengetua Inapan Siswa Proton, Dr Mohd Abidzar Zainol Abidin, program Mobility Inbound ini dirangka selari dengan agenda SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) melalui penyediaan pengalaman pembelajaran bermakna, di samping menyokong SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat) menerusi kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi serantau.
“Penganjuran program ini mencerminkan komitmen UUM menjadikan inapan siswa sebagai sebahagian daripada ekosistem pembangunan bakat universiti, di mana kolej kediaman berfungsi sebagai ruang pembelajaran kedua yang menyokong pembentukan sahsiah, kepimpinan dan pemikiran global mahasiswa,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif ini menyokong aspirasi pengantarabangsaan UUM secara mampan serta memperkukuh peranan universiti dalam melahirkan graduan berdaya saing, berfikiran global dan berteraskan nilai.


