CUIC perkukuh kerjasama strategik melalui kunjungan hormat ke Yayasan Hasanah
Gambar Prof. Madya Dr. Mohamad Farhan Mohamad Mohsin
SHAH ALAM, 15 Februari 2026: Pusat Kerjasama Universiti–Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan kunjungan hormat dan sesi libat urus strategik bersama pihak Yayasan Hasanah di Shah Alam, Selangor sebagai usaha memperkukuh jaringan kerjasama dalam pembangunan projek komuniti berimpak tinggi.
Delegasi UUM diketuai oleh Pengarah CUIC UUM, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam bersama Timbalan Pengarah CUIC, Prof. Madya Dr. Mohamad Farhan Mohamad Mohsin.

Dr. Chandrakantan berkata, kunjungan ini bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan kerjasama strategik antara UUM melalui CUIC dengan Yayasan Hasanah, di samping menerangkan latar belakang serta mandat CUIC dalam pembangunan komuniti.
Menurutnya, lawatan ini juga memberi peluang kepada pihak UUM untuk memahami tatacara, keperluan dan kriteria pembiayaan yang perlu dipenuhi oleh penyelidik sekiranya ingin memohon geran yang ditawarkan oleh Yayasan Hasanah.
“Kunjungan hormat ini menjadi platform penting bagi penjajaran strategik, perkongsian ekosistem pelaksanaan projek komuniti, serta pembinaan hubungan jangka panjang antara institusi pengajian tinggi dan badan pembiaya.
“Usaha ini selari dengan aspirasi UUM untuk meningkatkan kualiti dan impak pelaksanaan projek komuniti yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat,” katanya.
Dalam sesi tersebut, CUIC telah membentangkan portfolio projek-projek komuniti UUM termasuk lima projek berpotensi yang dikenal pasti untuk diketengahkan ke peringkat seterusnya serta dinilai kesesuaiannya untuk dilaksanakan di bawah sokongan geran Yayasan Hasanah.

Sesi libat urus ini turut membuka ruang kepada perkongsian pandangan dan maklum balas strategik daripada pihak Yayasan Hasanah berkaitan hala tuju, reka bentuk serta kebolehlaksanaan projek komuniti, khususnya sebagai persediaan awal sebelum pembukaan panggilan permohonan geran pada masa akan datang.
Di pihak Yayasan Hasanah, delegasi UUM telah mengadakan pertemuan bersama Senior Leadership (Community Development), Lakshwin Murugamoorthy dan Senior Leadership (Partnership), Raja Nor Dianna Raja Harun bagi membincangkan potensi kerjasama strategik dalam pembangunan projek komuniti berimpak tinggi.
Pihak Yayasan Hasanah turut menegaskan bahawa mereka mengutamakan kumpulan penyelidik yang benar-benar komited dan ikhlas dalam membangunkan komuniti, dan bukan semata-mata untuk memenuhi keperluan penunjuk prestasi (KPI).
Turut serta ialah Penolong Pendaftar Kanan Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia (USM), Muhamad Nur Hazim Mazlan yang dilantik sebagai pakar perunding bagi membimbing penyelidik UUM dalam pembangunan proposal komuniti berimpak tinggi. – Noor Farishah Abdul Radzak



