International Summer School 4.0 pacu kerjasama strategik UUM dan Thailand
Gambar Muhamad Syazwi Sholihin
SINTOK, 15 Februari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan jaringan antarabangsa menerusi penganjuran UUM International Summer School Program 4.0 oleh Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) yang menghimpunkan pelajar antarabangsa daripada Thailand dalam suasana pembelajaran yang interaktif dan berimpak tinggi.
Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara UUM, Prince of Songkla University (PSU) Kampus Trang dan Satree Phatthalung School, Thailand.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Prof. Madya Dr. Shamzaeffa Samsudin yang mewakili Dekan SEFB, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri di Dewan Seminar B, Kompleks Konvensyen UUM.
Dr. Shamzaeffa berkata, penganjuran program ini mencerminkan hubungan erat yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Thailand, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi serta pembangunan modal insan.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran 64 pelajar bersama pegawai pengiring dan guru dari Thailand ke kampus UUM yang terkenal dengan suasana hijau dan persekitaran akademik yang kondusif.
Menurutnya, kerjasama antara UUM dan PSU telah diperkukuh melalui pelbagai inisiatif seperti program mobiliti pelajar, seminar bersama, penyelidikan kolaboratif serta pertukaran akademik dan budaya.
“Penganjuran program musim panas ini menjadi lambang kesinambungan komitmen kedua-dua institusi dalam memperluas jaringan pendidikan serantau.

“Program ini bukan sahaja memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran komunikasi dan penguasaan bahasa Inggeris, malah membentuk nilai kepimpinan, kerja berpasukan serta pemikiran global dalam kalangan peserta, selaras dengan keperluan dunia tanpa sempadan masa kini,” katanya.
Sepanjang tiga hari program berlangsung, peserta berpeluang mengikuti sesi pembelajaran bahasa Inggeris secara interaktif, aktiviti riadah, lawatan akademik serta aktiviti pertukaran budaya yang memperkaya pengalaman rentas negara.
Seramai 12 pelajar UUM turut dilantik sebagai “SEFB Buddies” bagi membantu melancarkan perjalanan program. Mereka berperanan sebagai pembimbing, pengiring dan penghubung antara peserta antarabangsa dan warga kampus sepanjang program berlangsung.
pelajar Sarjana Muda Pengurusan Risiko dan Insurans, Wettey Jester Lasius yang mewakili kumpulan buddies menyatakan rasa bangga dan teruja kerana diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

“Peluang menjadi buddy dalam program antarabangsa seperti ini amat bermakna buat saya. Kami bukan sahaja membantu peserta menyesuaikan diri di kampus, malah turut mempelajari nilai komunikasi, kepelbagaian budaya dan semangat kerjasama rentas negara.
“Saya berharap semua peserta akan membawa pulang pengalaman yang bermakna serta kenangan indah sepanjang berada di UUM,” katanya.
Pengarah Program, Khairul Anuar Adnan menyifatkan SEFB International Summer School sebagai antara inisiatif berimpak tinggi yang berpotensi menjadi program “flagship” SEFB dalam memperkukuh kerjasama strategik antarabangsa serta meningkatkan keterlihatan global universiti.

“Program ini bukan sekadar aktiviti tahunan, tetapi platform penting untuk memperluas jaringan kolaborasi, memperkayakan pengalaman antarabangsa pelajar dan staf, serta memperkukuh reputasi UUM di peringkat serantau,” katanya.
Program edisi keempat ini merupakan kesinambungan kerjasama strategik antara UUM dan PSU Kampus Trang yang telah terjalin sejak tahun 2019 melalui penganjuran Summer School yang pertama.
Program ini dijangka akan terus menjadi platform tahunan yang signifikan dalam memupuk hubungan pendidikan Malaysia dan Thailand, selain membuka ruang kerjasama yang lebih luas pada masa hadapan. – Nur Liyana Mahazir



