Battle of STEM 2026 gegarkan UUM dengan 374 murid beradu kreativiti
Gambar Zamalik Hassan
SINTOK, 15 Februari 2026: Suasana di Dewan Tan Sri Othman, Universiti Utara Malaysia (UUM) gamat dengan sorakan dan semangat apabila Program Battle of STEM: Structural Design Competition berlangsung dengan penuh meriah.
Program anjuran Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) ini diketuai oleh Norhafiza Mohd Noor bersama 17 saintis yang terdiri daripada pensyarah SQS serta dibantu oleh 35 fasilitator yang komited dalam memastikan kelancaran aktiviti sepanjang hari.

Norhafiza berkata, program ini merupakan kesinambungan kepada Program STI 1003 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang telah dilaksanakan sejak Disember 2025 hingga Februari 2026.
Menurutnya, penganjuran kali ini turut bersempena sambutan International Day of Mathematics 2026 yang diraikan pada 14 Mac setiap tahun, sekali gus menyemarakkan lagi budaya cinta akan matematik dan sains dalam kalangan generasi muda.
Seramai 374 peserta daripada enam sekolah telah mengambil bahagian iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Perahu, SK Megat Dewa, SK Padang Pekan, SK Kampung Gelam, SK Dato’ Syed Nahar dan Sekolah Rendah Al-Azhar. Penyertaan yang memberangsangkan ini jelas mencerminkan kesungguhan pihak sekolah dalam memperkasakan pendidikan STEM di peringkat akar umbi.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Sains dan Matematik, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Rozaini Othman.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pendedahan awal terhadap STEM mampu melahirkan murid yang berfikiran kritis, kreatif dan inovatif selaras dengan keperluan Revolusi Industri masa kini.
Program turut diserikan dengan ceramah STEM oleh Dr. Saadi dari SQS yang membuka minda peserta tentang bagaimana konsep sains dan matematik diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Sepanjang pertandingan, peserta mempamerkan kreativiti luar biasa dan semangat kerja berpasukan yang tinggi. Pembinaan struktur serta reka bentuk bandar STEM yang dibina bukan sahaja menarik, malah praktikal dan berdaya tahan.
Keputusan akhir menyaksikan Sekolah Kebangsaan Dato’ Syed Nahar dinobatkan sebagai juara keseluruhan pertandingan pembinaan bandar STEM, diikuti tempat kedua dimenangi oleh Sekolah Rendah Al-Azhar (Pasukan B), manakala tempat ketiga turut menjadi milik Sekolah Rendah Al-Azhar (Pasukan A).

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Penyelaras Program Pascasiswazah SQS, Prof. Madya Dr. Aida Mauziah Benjamin yang mewakili Dekan SQS menandakan berakhirnya program Battle of STEM: Structural Design Competition.
Secara keseluruhannya, program Battle of STEM: Structural Design Competition bukan sahaja berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan, malah berperanan sebagai platform dalam menyemai minat terhadap bidang STEM, membina keyakinan diri dalam kalangan murid serta memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti dan sekolah-sekolah di negeri Kedah ke arah melahirkan generasi yang celik, kompeten dan berdaya saing dalam bidang STEM. – Norhafiza Mohd Noor



