Bengkel Pengemaskinian Dokumen ISO pastikan sistem pengurusan kualiti penuhi keperluan semasa
Gambar UUM Press
SINTOK, 15 Februari 2026: UUM Press telah menganjurkan Bengkel Pengemaskinian Dokumen ISO selama dua hari iaitu pada 8 dan 9 Februari lalu di EDC UUM yang melibatkan seramai 20 staf daripada pelbagai bahagian.
Pengarah UUM Press, Prof. Madya Dr. Johan Afendi Ibrahim berkata, bengkel ini merupakan satu inisiatif berterusan bagi memastikan sistem pengurusan kualiti sentiasa relevan, sistematik dan memenuhi keperluan semasa organisasi.

Menurutnya, komitmen semua staf amat penting dalam memastikan setiap prosedur didokumentasikan dengan jelas dan dilaksanakan secara konsisten.
Beliau turut menegaskan bahawa pengemaskinian dokumen bukan sekadar memenuhi keperluan audit, tetapi merupakan usaha memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan UUM Press secara menyeluruh.
“Tujuan utama penganjuran bengkel ini adalah untuk memastikan dokumen ISO sentiasa dikemas kini selaras dengan keperluan standard MS 9001:2015, di samping meningkatkan kefahaman dan kecekapan staf dalam melaksanakan prosedur kerja yang berkualiti,” katanya.

Sepanjang dua hari bengkel berlangsung, peserta telah diberi pendedahan berkaitan kaedah semakan dokumen, penambahbaikan proses serta penyelarasan rekod bagi memastikan keberkesanan sistem pengurusan kualiti di UUM Press terus diperkasakan.
Penganjuran bengkel ini diharapkan dapat memperkukuh budaya kerja berasaskan kualiti serta memberi nilai tambah kepada pengurusan penerbitan UUM Press secara menyeluruh. – Norfa’iza Ismail



