Education

Pelajar SOE cipta kejayaan di pentas antarabangsa IECE Camp 2026

Gambar Aina Balqis Mohd Rozali and Ummi Qistina Zainuddin

THAILAND, 16 Februari 2026: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan agenda pengantarabangsaan melalui penyertaan dalam International Education and Cultural Enrichment (IECE) Camp 2026 anjuran Prince of Songkla University (PSU), Kampus Pattani, Thailand.

Program mobiliti antarabangsa selama lima hari bermula 9 Februari lalu melibatkan penyertaan pelajar dari Malaysia, Indonesia dan Korea Selatan.

UUM diwakili oleh Presiden PENDIDIK, Ummi Qistina Zainuddin dan mantan Presiden PENDIDIK, Aina Balqis Mohd Rozali bersama Pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan, Prof. Madya Dr. Mardzelah Makhsin sebagai pensyarah pengiring rasmi.

Sepanjang program, peserta mengikuti Shared Classroom Experience, Mini Research Clinic, konsultasi tesis prasiswazah serta School-based Learning & Teaching Practicum di sekolah demonstrasi PSU. Pelajar turut didedahkan kepada konteks sosial dan budaya setempat melalui lawatan akademik dan warisan seperti Krue Se Mosque.

Aktiviti Talk, Cook and Share menjadi antara pengisian utama apabila peserta mempelajari budaya Thailand melalui komunikasi bahasa Inggeris serta pertandingan memasak hidangan tradisional seperti Somtam. Dalam pertandingan tersebut, wakil UUM berjaya dinobatkan sebagai johan, sekali gus mengharumkan nama universiti di peringkat antarabangsa.

Program kemuncak Cultural Night and Closing Ceremony pula menjadi simbol perpaduan antarabangsa apabila peserta dari pelbagai negara mempersembahkan warisan budaya masing-masing.

Selain penglibatan dalam aktiviti pelajar, Dr. Mardzelah turut mengadakan sesi perbincangan rasmi bersama Dekan Fakulti Pendidikan PSU bagi meneroka potensi kolaborasi strategik antara kedua-dua institusi.

Dr. Mardzelah berkata, perbincangan tersebut memfokuskan kepada peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan bersama, penerbitan akademik, mobiliti pensyarah dan pelajar, serta pembangunan program kolaboratif pada peringkat antarabangsa.

Kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk memperkukuh jaringan akademik rentas negara sebagai usaha memperluas impak penyelidikan dan inovasi pendidikan.

“IECE Camp 2026 bukan sahaja memberi manfaat besar kepada pembangunan pelajar, malah membuka ruang jaringan akademik yang lebih luas antara UUM dan PSU.

“Perbincangan ini diharapkan menjadi asas kepada kolaborasi penyelidikan dan mobiliti yang lebih mampan pada masa hadapan,” katanya.

Secara keseluruhannya, penyertaan pelajar Persatuan Pengurusan Pendidikan Pusat pengajian Pendidikan (SOE) dalam IECE Camp 2026 membuktikan komitmen berterusan universiti dalam melahirkan graduan berfikiran global, berdaya saing serta mempunyai kefahaman silang budaya yang tinggi.

Program ini juga turut memperkukuh hubungan institusi antara UUM dan PSU, malah menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif mobiliti dan kolaborasi penyelidikan antarabangsa, selari dengan aspirasi pengantarabangsaan UUM. – Aina Balqis Mohd Rozali

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button