Campus

Kursus Jati Diri 2026 pemangkin kepimpinan pelajar berintegriti

Gambar SELECT, JHEP

GOPENG, 16 Februari 2026: Seramai 40 pemimpin badan pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) menyertai Kursus Pemerkasaan Jati Diri dan Kepimpinan Badan Pelajar 2026 bagi memperkukuhkan karakter dan kredibiliti organisasi.

Program tiga hari dua malam anjuran Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (SELECT), Jabatan Hal Ehwal Pelajar itu berlangsung di Kem Murni, Gopeng, Perak dengan memfokuskan kepada pengukuhan nilai kepimpinan, integriti, serta semangat kerja berpasukan.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa kepimpinan mahasiswa harus berpaksikan adab dan integriti, selari dengan falsafah universiti, ‘Menjulang Ilmu, Mengakar Adab’.

“Pemimpin pelajar perlu menjadi suri teladan terbaik dan sentiasa menyumbang secara positif demi menjaga imej universiti,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad.

Dr. Ram turut menzahirkan penghargaan atas kematangan MPP dalam menangani isu-isu semasa pelajar secara profesional dan berstrategik.

Program turut diperkukuh dengan slot perkongsian alumni oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar, Dr. Mazli Mutazam yang menekankan kepentingan sinergi antara kecemerlangan akademik dan aktiviti kokurikulum sebagai tunjang pembentukan jati diri pelajar yang holistik.

Sepanjang kursus, peserta didedahkan dengan pelbagai slot ilmiah seperti Bicara Kenegaraan, Kesihatan Mental & Pengurusan Stres, Aktiviti Fizikal & Lasak: Smart Tunnel, Flying Fox, River Tubing, Water Rafting, dan Ekspedisi Gua Kandu yang dirangka khusus bagi menguji ketahanan mental, membina keyakinan diri, serta memupuk semangat setiakawan yang tinggi dalam kalangan pemimpin.

Peserta, Ahmad Mukhlis Ar Rasyid Mohd Rashid berkata, program ini merupakan platform terbaik dalam merapatkan hubungan antara pemimpin pelajar selain membuka perspektif baharu dalam pengurusan organisasi.

Sementara itu, Pengurus SELECT, Mohd Farhan Ismail berkata, kursus tersebut dirangka secara holistik bagi memastikan barisan kepimpinan pelajar bukan sahaja cekap mengurus, malah mempunyai sahsiah yang mantap.

Program ini turut memberi pendedahan pengurusan kepada pelajar On Campus Job (OCJ) SELECT yang bertindak sebagai fasilitator dan urus setia. Kejayaan penganjuran ini membuktikan komitmen berterusan SELECT dalam melahirkan pemimpin masa hadapan yang selari dengan aspirasi UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka. – Muhammad Najmudin Nadzri

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button