Education

Jaringan ECOFI, SEFB ke PSU, Trang perkukuh posisi antarabangsa serantau

Berita dan gambar Prof Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan

THAILAND, 22 Februari 2026: Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melaksanakan lawatan Academic Engagements and Knowledge Sharing Activities ke Faculty of Commerce and Management, Prince of Songkla University (PSU), Kampus Trang, Thailand pada 9 hingga 13 Februari lalu.

Lawatan ini diadakan atas jemputan rasmi PSU Trang yang turut mencerminkan pengiktirafan terhadap kepakaran akademik ECOFI–SEFB serta potensi strategik UUM sebagai rakan kolaborasi serantau dalam bidang ekonomi, kewangan dan pembangunan komuniti.

Felo Bersekutu ECOFI, Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan hadir bersama bersama Prof. Dr. Afza Amrah (Asian Research Institute for Corporate Governance, UUM) dan Prof. Madya Dr. Azharudin Ali (Institute of Strategic and Sustainable Accounting Development, UUM).

Dr. Shazida berkata, penyertaan ini bukan sekadar lawatan akademik, tetapi merupakan langkah strategik memperkukuhkan jaringan institusi dan memperluaskan kehadiran UUM dalam ekosistem pendidikan tinggi ASEAN.

Sepanjang program, sesi perbincangan strategik dan pembentangan cadangan penyelidikan telah memberi fokus kepada pemerkasaan usahawan kecil melalui literasi kewangan digital, tingkah laku simpanan (saving behavior), kesedaran dan pematuhan halal serta hubungannya dengan prestasi perniagaan.

Perbincangan ini membuka ruang kepada pembangunan penyelidikan rentas negara yang berpotensi menghasilkan penerbitan bersama, permohonan geran antarabangsa serta pembangunan model intervensi komuniti berasaskan bukti (evidence-based intervention).

Kolaborasi ini turut dilihat mampu menyokong agenda keusahawanan di peringkat universiti melalui penyelarasan kurikulum, pengukuhan program inkubasi pelajar, mobiliti staf dan pelajar serta pelaksanaan projek komuniti berimpak tinggi yang selari dengan SDG 4 (Quality Education) dan agenda pembangunan mampan serantau.

Sepanjang program, Dr. Shazida turut berpeluang mengendalikan sesi pengajaran selama dua jam bersama pelajar Faculty of Commerce and Management, PSU Trang. Sesi kelas ini memberi fokus kepada peranan institusi kewangan serta kepentingan intervensi dasar dalam membangunkan ekonomi, khususnya dalam memperkasakan perusahaan kecil dan komuniti setempat.

Perkongsian ini membuka ruang perbincangan kritikal bersama pelajar mengenai bagaimana sektor kewangan, dasar awam dan institusi pembangunan dapat berfungsi sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.

Lawatan lapangan ke projek komuniti dan inisiatif keusahawanan pelajar di Trang memperlihatkan potensi besar untuk integrasi antara pengajaran, penyelidikan dan pemindahan ilmu secara lebih sistematik. Model kolaborasi ini berupaya memperkukuh peranan universiti sebagai pemangkin pembangunan ekonomi setempat di kedua-dua negara.

Pengarah ECOFI, Prof. Madya Shamzaeffa Samsudin berkata, pengantarabangsaan institusi perlu dilaksanakan secara strategik dan berfasa.

“ECOFI komited untuk meletakkan institusi ini di mata antarabangsa melalui pengukuhan jaringan serantau terlebih dahulu, khususnya bersama negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

“Pendekatan ini akan menjadi asas kukuh kepada peluasan kolaborasi global pada masa hadapan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif sebegini menyumbang secara langsung kepada pengukuhan KPI antarabangsa universiti termasuk jaringan MoU/MoA, kolaborasi penyelidikan rentas negara, penerbitan bersama, serta peningkatan keterlihatan institusi dalam ekosistem akademik ASEAN.

Secara keseluruhannya, lawatan ini memperlihatkan potensi signifikan untuk memperluas kerjasama strategik antara UUM dan PSU Kampus Trang bukan sahaja di peringkat fakulti, malah di peringkat universiti secara menyeluruh. Ia menjadi platform penting dalam membina rangka kerja kolaborasi jangka panjang yang mampan, berimpak dan selari dengan aspirasi pengantarabangsaan Universiti Utara Malaysia.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button