Campus

SEFB UUM perkukuh jaringan antarabangsa menerusi UUM PSU International Summer School Program 4.0

Berita dan gambar Khairul Anuar Adnan

SINTOK, 23 Februari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) terus memperkukuhkan komitmennya dalam agenda pengantarabangsaan universiti apabila berjaya menganjurkan Program UUM PSU International Summer School 4.0 yang berlangsung dari 10 hingga 12 Februari lalu UUM.

Program edisi keempat ini dilaksanakan melalui kolaborasi strategik bersama Prince of Songkla University (PSU), Kampus Trang, Thailand.

Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Penolong Naib Canselor UUM COB merangkap Dekan SEFB, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri yang menegaskan bahawa program mobiliti akademik jangka pendek seperti ini merupakan inisiatif penting dalam membentuk pelajar yang memiliki daya saing global serta kompetensi antara budaya.

Menurutnya, program tersebut bukan sekadar pertukaran akademik, sebaliknya berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan budaya, bahasa dan perspektif antara dua negara.

Katanya, dalam dunia tanpa sempadan hari ini, para pelajar perlu berani melangkaui bilik kuliah untuk meneroka kepelbagaian global serta membina jaringan antarabangsa sejak di bangku sekolah lagi.

“Pengalaman seperti ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan diri, malah membentuk kemahiran insaniah dan keupayaan beradaptasi dalam persekitaran pelbagai budaya yang amat penting dalam era globalisasi.

“Saya berharap pengalaman bermakna sepanjang berada di UUM ini akan menjadi inspirasi kepada para pelajar untuk kembali menyambung pengajian di sini selepas menamatkan persekolahan di Thailand,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur dan semua pihak yang terlibat atas komitmen serta dedikasi dalam memastikan kelancaran program.

Program ini melibatkan penyertaan 60 pelajar dari Satree Phatthalung School, Thailand bersama tiga guru pengiring serta dua pegawai pengiring dari PSU Kampus Trang.

Sepanjang tiga hari penganjuran, peserta mengikuti pelbagai aktiviti yang dirangka secara komprehensif, termasuk kelas asas komunikasi Bahasa Inggeris, lawatan akademik ke Perpustakaan Sultanah Bahiyah dan Muzium UUM, serta lawatan kebudayaan dan pendidikan ke Pulau Pinang.

Gabungan aktiviti dalam dan luar bilik darjah ini memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta dalam aspek bahasa, budaya dan sistem pendidikan, di samping memupuk semangat kerja berpasukan serta membina jaringan persahabatan rentas sempadan.

Kejayaan program ini turut diperkukuhkan melalui komitmen 12 pelajar UUM daripada kelab pelajar SEFB seperti FABS, ECOSA, MARIM dan Agribisnes yang berperanan sebagai pelajar pengiring (buddies) serta penghubung budaya sepanjang program berlangsung.

Pengarah Program, Khairul Anuar Adnan berkata, inisiatif ini menjadi platform signifikan dalam mempereratkan hubungan akademik Malaysia dengan Thailand serta memperluaskan jaringan kerjasama institusi di peringkat serantau.

Menurutnya, penglibatan pelajar pengiring menjadi elemen penting dalam memastikan pengalaman peserta berjalan lancar dan bermakna.

“Program ini bukan sekadar inisiatif akademik, tetapi platform membina hubungan jangka panjang antara institusi dan pelajar.

Pelajar pengiring memainkan peranan signifikan sebagai penghubung bahasa dan budaya, memastikan setiap peserta berasa dialu-alukan dan dibimbing sepanjang berada di UUM. Komitmen mereka mencerminkan profesionalisme dan kepimpinan mahasiswa UUM,” katanya.

Sementara itu, wakil PSU, Dr. Sudatip Prapunta, Pensyarah Fakulti Perdagangan dan Pengurusan PSU Kampus Trang merangkap pegawai pengiring program menzahirkan penghargaan atas layanan profesional yang diberikan oleh pihak UUM.

“Kami amat menghargai penerimaan yang mesra dan teratur sepanjang program ini. Pengalaman ini membuka perspektif pelajar kami terhadap pembelajaran antarabangsa serta meningkatkan keyakinan mereka untuk berinteraksi dalam persekitaran pelbagai budaya,” katanya.

Pelajar PSU, Husana Leebamrung menyifatkan program ini sebagai pengalaman yang memperluaskan perspektif serta jaringan antarabangsanya. manakala Supakorn Butsuwan dari Satree Phatthalung School menyatakan bahawa program ini memberikan gambaran awal tentang kehidupan universiti dan meningkatkan motivasinya untuk melanjutkan pengajian di peringkat antarabangsa dengan UUM antara pilihan utamanya.

Secara keseluruhannya, Program UUM PSU International Summer School 4.0 mencerminkan komitmen berterusan SEFB dalam memperkukuhkan kecemerlangan akademik serta memperluaskan jaringan global universiti.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button