Maybank #M-Pawered Day @ UUM 2026 fokus kebolehpasaran dan pendedahan industri
Berita dan gambar Siti Nazirah Jaya
SINTOK, 25 Februari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan delegasi Maybank bagi membincangkan perancangan program dan aktiviti pembangunan pelajar yang akan dilaksanakan sepanjang tahun 2026.
Sesi perbincangan ini telah dipengerusikan oleh Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam.

Delegasi Maybank pula telah diketuai oleh Head of Talent Attraction & Acquisition, Dr. Iddin Abdul Manaf bersama tiga wakil Maybank yang lain.
Dr. Chandrakantan berkata, perbincangan ini adalah untuk berkongsi cadangan dan hala tuju kerjasama bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan pelajar UUM ke alam pekerjaan.
“CUIC UUM merakamkan penghargaan atas komitmen dan sokongan berterusan Maybank dalam memperkasakan pembangunan pelajar dan memperkukuhkan jaringan kolaborasi universiti dan industri demi melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing serta memenuhi keperluan industri semasa,” katanya.
Sementara itu, Dr. Iddin berkata, mereka ingin memfokuskan usaha strategik Maybank untuk menyokong pembangunan kemahiran, pendedahan industri dan kebolehpasaran graduan UUM melalui program bersasar dan berimpak tinggi.

Bagi tahun ini, Maybank akan menganjurkan program Maybank #M-PAWered Day @ UUM 2026 yang merangkumi pelbagai inisiatif pembangunan pelajar. Antara aktiviti yang dirancang termasuk Maybank Classroom Takeover, Youth FUNancial, Tiger’s Den Bootcamp, Career Glow Up: Dress for Success & Career Talk, serta EXCO Connect yang bakal melibatkan Profesor Adjung Maybank dan barisan pemimpin-pemimpin tinggi Maybank.
Selain itu, program turut akan dijayakan dengan Alumni Sharing Session serta penglibatan Maybank dalam Pameran Kerjaya UUM.
Dalam masa yang sama, Maybank turut menawarkan peluang Lawatan Korporat kepada pelajar UUM ke lokasi baharu iaitu Menara Merdeka 118 bermula Julai 2026, sebagai pendedahan industri dan pengalaman pembelajaran luar bilik kuliah yang lebih bermakna.
Turut hadir ialah Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar; Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (CDGEC), Dr. Fikriyah Abdullah serta Timbalan Dekan dari TISSA, SBM dan SEFB.



