Jom..JKK Kacau Bubur Lambuk pembuka selera di bulan Ramadan
Gambar Shamsaimi Ezil
SINTOK, 25 Februari 2026: Seramai 22 staf Jabatan Komunikasi Korporat (JKK) serta dua wakil daripada Bahagian Pemasaran Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai program ‘Jom..JKK Kacau Bubur Lambuk’ di Dapur Rahmah, Pusat Islam UUM semalam dalam suasana penuh semangat kerjasama dan kemesraan.
Program dimulakan seawal pagi dengan aktiviti penyediaan bahan-bahan asas di mana peserta bergotong-royong memotong bawang, halia dan daun sup sebelum dimasukkan ke dalam periuk besar untuk proses memasak.

Kerja-kerja penyediaan dilakukan secara tersusun bagi memastikan bubur lambuk dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
Pengarah JKK, Kori Ariff berkata, program seumpama ini bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama warga kerja, malah menyemai semangat kebersamaan dan nilai kesukarelawanan.

“Aktiviti seperti ini memberi peluang kepada staf untuk berinteraksi di luar suasana pejabat sambil menyumbang kepada komuniti kampus,” katanya.
Proses memasak dan mengacau bubur lambuk mengambil masa kira-kira 30 ke 45 minit sebelum ia siap sepenuhnya. Bubur yang telah masak kemudian dimasukkan ke dalam bekas sebanyak kira-kira 170 pek untuk diagihkan sesama staf. Turut disediakan air jagung sebagai pelengkap juadah.

Pereka, Norazlina Ahmad pula berkata, penglibatan staf termasuk dari Bahagian Pemasaran menunjukkan komitmen menyeluruh warga UUM dalam menjayakan program kebajikan.
“Walaupun berbeza jabatan, kami dapat bekerjasama dengan baik dan ini membuktikan semangat berpasukan yang kukuh dalam kalangan warga kerja,” katanya.
Program tersebut diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu inisiatif memperkukuhkan ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga Universiti Utara Malaysia.



