SCIMPA adakan bengkel sempena sambutan 1 dekad penubuhan
Gambar Thirukaliarasan a/l Kannu
SINTOK, 26 Februari 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Tatacara Kertas Kerja dan Pengurusan Surat Menyurat yang melibatkan seramai 42 staf, baru-baru ini.
Program ini merupakan penganjuran julung kali dan salah satu daripada himpunan perancangan program (SCIMPA) dan dianjurkan khusus untuk semua staf SCIMPA bersempena Sambutan 1 Dekad penubuhannya.

Bengkel tersebut telah dirasmikan oleh Dekan SCIMPA, Prof Madya Gs. Dr. Ruzinoor Che Mat di mana beliau menegaskan kepentingan pengurusan dokumentasi yang sistematik, pengurusan kertas kerja dan surat dan profesional dalam setiap perkara bagi memastikan kelancaran pentadbiran serta meningkatkan imej pusat pengajian setaraf dengan semangat “Universiti Pengurusan Terkemuka”.
Menurutnya, penyediaan kertas kerja yang berkualiti dan pengurusan surat menyurat yang teratur bukan sahaja mencerminkan tahap profesionalisme staf, malah menjadi asas penting dalam menjayakan sesuatu program atau urusan rasmi.
“Kecekapan dalam aspek pengurusan dokumen akan membantu memperkemas tadbir urus dan memudahkan proses kelulusan serta pelaksanaan sesuatu aktiviti,” katanya.
Bengkel ini memberi pendedahan menyeluruh berkaitan format dan tatacara penyediaan kertas kerja yang berkesan, kaedah penulisan surat rasmi yang tepat, serta kesilapan lazim yang perlu dielakkan dalam urusan pentadbiran. Peserta turut didedahkan dengan latihan praktikal dan sesi perbincangan bagi meningkatkan kefahaman serta kemahiran mereka.

Penganjuran program ini diharap dapat memperkukuhkan budaya kerja berkualiti dalam kalangan staf SCIMPA, sejajar dengan aspirasi pusat pengajian untuk terus cemerlang dan relevan dalam bidang pengurusan industri kreatif dan seni persembahan.
Sambutan 1 Dekad SCIMPA menjadi platform signifikan untuk memperkasakan pembangunan profesional staf, sekali gus memperteguh komitmen pusat pengajian dalam melahirkan persekitaran kerja yang efisien, sistematik dan berdaya saing. – M Shahadat Ali Nordin



