SRAZ Gempur UUM: Cipta Kejayaan Gemilang dalam Battle of STEM 2026
Gambar Zamalik Hassan
SINTOK, 1 Mac 2026: Sekolah Rendah Al-Azhar (SRAZ) telah melakar pencapaian luar biasa dalam program Battle of STEM: Structural Design Competition 2026 yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini.
Program anjuran Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), UUM ini merupakan kemuncak kepada siri program STI 1003 melalui pelaksanaan program STEM SMART GEN-Z Alpha AQUAPONICS di bawah inisiatif STI 100³ Kitaran 2.
Kehadiran seramai 89 pelajar SRAZ ke UUM membuahkan hasil apabila mereka berjaya mendominasi kedudukan yang dipertandingkan dalam acara pembinaan bandar STEM.

Suasana dewan dipenuhi sorakan kegembiraan apabila kumpulan SRAZ A yang diwakili oleh pelajar perempuan diumumkan sebagai pemenang tempat kedua, manakala kumpulan SRAZ B yang terdiri daripada pelajar lelaki berjaya merangkul tempat ketiga. Kejayaan ini membuktikan keupayaan teknikal dan kreativiti yang seimbang antara pelajar lelaki dan perempuan dalam menguasai konsep kejuruteraan asas yang kompleks.
Faktor utama kemenangan ini didorong oleh keupayaan pelajar membina sebuah struktur rangka yang kompleks dan stabil, sekali gus menunjukkan kefahaman mendalam dalam konsep kejuruteraan serta reka bentuk struktur. Pelajar telah berjaya mengaplikasikan ilmu binaan daripada sistem akuaponik yang dipelajari dalam aktiviti Eco-Detective Quest (Aktiviti 1) dan Upgrade Smart Aquaponik (Aktiviti 2) sebelumnya ke dalam struktur pertandingan mereka.
Kejayaan teknikal ini merupakan hasil bimbingan eksklusif daripada Kumpulan Penyelidikan Computational Statistics and Applied Mathematics (CSAM), SQS UUM yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nor Intan Saniah Sulaiman dan dibantu oleh barisan pakar berpengalaman iaitu Rohaiza Zakaria, Prof. Madya Dr. Rahela Abdul Rahim serta Prof. Madya Dr. Samsul Ariffin Abdul Karim. Sinergi antara teori kejuruteraan dan aplikasi praktikal ini ternyata menjadi kunci utama yang memikat hati juri.

Selain kecemerlangan dalam acara utama, pelajar SRAZ turut menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam fasa awal program melalui aktiviti Eco-Detective Quest. Daripada keseluruhan 27 hadiah yang ditawarkan mengikut konsep tahap pingat, SRAZ berjaya membawa pulang sembilan hadiah secara keseluruhan yang merangkumi tiga hadiah tahap emas, tiga hadiah tahap perak, dan tiga tahap gangsa.
Program ini turut mendapat kerjasama erat daripada pihak Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sek Rendah Al-Azhar serta pemantauan rapi daripada lima orang guru pengiring yang memastikan kebajikan dan fokus pelajar sentiasa berada pada tahap terbaik sepanjang program ini berlangsung.
Guru Besar SRAZ, Razman Mohd Razman menzahirkan rasa syukur dan bangga atas semangat juang serta komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh anak didiknya.
Beliau menegaskan bahawa melihat pelajar bertungkus-lumus membina struktur rangka yang stabil dan kreatif merupakan satu kepuasan bagi pihak sekolah, malah program seumpama ini dianggap sebagai platform terbaik untuk menyuntik minat mendalam terhadap bidang STEM serta membina keyakinan diri murid untuk mendepani cabaran masa hadapan.

Keriangan yang sama turut dikongsi oleh pelajar, antaranya Nuruddin yang meluahkan rasa teruja kerana berjaya memastikan rangka bangunan yang dibina kekal stabil dan kukuh meskipun berdepan cabaran teknikal yang tinggi sepanjang pertandingan.
Sebagai pengisian tambahan, pelajar turut dibawa melawat Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) UUM bagi merasai sendiri suasana pembelajaran di universiti. Lawatan ini ternyata meninggalkan kesan mendalam kepada peserta, termasuk adik Widad yang sangat terinspirasi dengan keindahan prasarana di PSB sebagai satu dorongan besar buat dirinya untuk belajar dengan lebih tekun. Beliau memasang impian agar suatu hari nanti dapat melanjutkan pelajaran ke UUM.
Penganjuran program berimpak tinggi ini diyakini mampu menjadi platform yang sangat berkesan dalam membentuk murid-murid SRAZ menjadi generasi muda yang bukan sahaja berpengetahuan luas, malah berkeyakinan tinggi untuk terus meneroka keajaiban dunia STEM. Usaha murni ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 4 dalam menyediakan pendidikan berkualiti bagi memastikan anak-anak didik kita sentiasa bersedia membina masa depan yang lebih cerah. – Prof. Madya Dr Nor Intan Saniah Sulaiman



