Universiti perkasa budaya penyelidikan menerusi penubuhan research group
Gambar oleh: SOG
SINTOK, 2 Mac 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh agenda pemerkasaan institusi menerusi penghasilan penyelidikan dan penerbitan berimpak tinggi.
Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kuantiti dan kualiti penyelidikan serta penerbitan dalam kalangan pensyarah secara lebih tersusun dan strategik.

Program yang berlangsung di Pusat Pengajian Kerajaan (SoG) itu merupakan inisiatif Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (JHEPPI) dalam memperkasa ekosistem penyelidikan universiti serta menggalakkan budaya penerbitan berkualiti tinggi dalam kalangan warga akademik.
Majlis dimulakan dengan sesi tinjauan berkaitan isu infrastruktur dan infostruktur yang melibatkan kerjasama pelbagai pihak, termasuk unit ICC, UUMIT, RMC dan JPPI, bagi memastikan sokongan teknikal serta sistem maklumat berada pada tahap optimum untuk menyokong aktiviti penyelidikan.

Roadshow ini disampaikan oleh Dekan Penyelidikan dan Inovasi (P&I), Prof. Dr. Nor Idayu Mahat, dan disusuli dengan ucapan aluan oleh Dekan SoG.
Taklimat tersebut memberi penekanan terhadap hala tuju strategik universiti dalam mempertingkatkan kualiti permohonan geran penyelidikan, memperluas kolaborasi industri serta meningkatkan kadar penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi.
Menurut beliau, penubuhan Research Group (RG) merupakan antara strategi utama universiti bagi memfokuskan kepakaran pensyarah mengikut kluster tertentu, sekali gus mewujudkan sinergi penyelidikan yang lebih tersusun dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Majlis turut menyaksikan penyerahan surat lantikan kepada ketua-ketua Research Group sebagai simbol komitmen universiti dalam memperkukuh struktur tadbir urus penyelidikan.
Sesi interaktif yang berlangsung selepas itu membuka ruang perbincangan dua hala antara pihak pengurusan penyelidikan dan ahli RG berkaitan cabaran semasa, peluang geran serta strategi penerbitan yang lebih berimpak.

Inisiatif ini selari dengan aspirasi universiti untuk melonjakkan reputasi akademik menerusi penghasilan penyelidikan yang berkualiti, inovatif dan memberi impak kepada masyarakat serta pembuat dasar.
Penubuhan dan pengaktifan Research Group diyakini mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan prestasi penyelidikan dan penerbitan berimpak tinggi dalam kalangan warga akademik.
Usaha berterusan seperti ini membuktikan komitmen universiti dalam memperkasa budaya penyelidikan yang mampan, sistematik dan berdaya saing, sekali gus mengukuhkan kedudukan institusi sebagai pusat kecemerlangan ilmu dalam bidang pengurusan pembangunan dan pengurusan awam. – Dr. Sharif Shofirun Sharif Ali



