Inasis Tradewinds komited menjaga kebajikan pelajar menerusi Ramadan Campus Care with MYCARE
Gambar Nur Alyaa Azhar
ALOR SETAR, 4 Mac 2026: Biro Kerohanian dan Sahsiah, Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa dan Residen Siswa (JKPSRS) Inapan Siswa (Inasis) Tradewinds telah menganjurkan Ramadan Campus Care with MYCARE dalam usaha memperkukuhkan kebajikan serta menyantuni komuniti pelajar sepanjang bulan Ramadan.
Program ini turut mendapat kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) MYCARE serta sumbangan daripada Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD), Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP).

Pengarah program, Nurul Anis Syifa Abdullah berkata, program ini bertujuan untuk membantu pelajar yang memerlukan melalui pemberian sumbangan barangan keperluan asas sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap kebajikan warga kampus.
Menurutnya, inisiatif kolaborasi antara Inasis Tradewinds dan MYCARE ini juga bertujuan memupuk nilai empati, semangat kesukarelawanan serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan pelajar.
Program selama 2 hari bermula dari 2 Mac itu melibatkan kunjungan ke lima buah rumah penerima bantuan di sekitar kawasan Alor Setar.
Nurul Anis berkata, lawatan ini bukanlah sahaja dapat meringankan sedikit beban penerima, malah dia dapat melihat dengan mata sendiri tentang bagaimana cabaran dan keadaan yang rakan seperjuangannya terpaksa hadapi demi meneruskan pengajian.

“Diharapkan usaha murni ini dapat meringankan beban para penerima serta membawa kegembiraan dan kesejahteraan dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya.
Kemudian, mereka bertolak menuju ke Baling bagi meneruskan misi kebajikan dengan menghadiri sesi iftar Ramadan bersama Presiden Inasis Tradewinds, Muhammad Thaqif Md Razip yang ditimpa bencana alam apabila kediamannya mengalami kerosakan teruk akibat kejadian pokok tumbang.
Kunjungan ini bertujuan untuk memberi sokongan moral serta menyampaikan bantuan sebagai tanda keperihatinan terhadap ujian yang dihadapinya.

Pada hari kedua, program diteruskan dengan kunjungan ke empat rumah pelajar di sekitar kawasan Jitra dan Changlun.
Lawatan pada hari kedua ini turut disertai sendiri oleh pihak MyCare yang bersama-sama turun padang bagi menyampaikan sumbangan serta menyantuni pelajar yang memerlukan. Kehadiran pihak MyCare bukan sahaja mengukuhkan jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak, malah mencerminkan komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan mahasiswa, khususnya sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Ramadan Campus Care with MYCARE turut mendapat sokongan penuh daripada Dekan Hal Ehwal Pelajar, Dr. Mazli Mutazam yang telah menyertai program ini secara langsung serta barisan pentadbiran Inasis Tradewinds dan JKPSRS Inasis Tradewinds. – Nur Alya Ariffah Mohd Ruzian



