Perkukuh ukhuwah, semai kebersamaan dalam Program Kacau Bubur Lambuk UUM COLGIS
Berita dan gambar Abu Bakar Omar Hamdan
SINTOK, 5 Mac 2026: Pejabat Penolong Naib Canselor, UUM COLGIS telah menganjurkan Program Kacau Bubur Lambuk bersempena bulan Ramadan 1447H dalam suasana penuh harmoni dan semangat kebersamaan di kampus UUM.

Program yang berlangsung di Dapur Rahmah Pusat Islam itu menghimpunkan staf akademik, staf pentadbiran serta pelajar praktikal UUM COLGIS yang bersama-sama menyediakan bubur lambuk sebagai simbolik perpaduan dan kerjasama warga universiti.
Penolong Naib Canselor UUM COLGIS, Prof. Dr. Harlida Abd Wahab berkata, penganjuran program tersebut merupakan inisiatif tahunan yang bukan sahaja bertujuan mengimarahkan Ramadan, malah memperkukuhkan jaringan ukhuwah antara warga pusat pengajian di UUM COLGIS.
Setelah selesai proses penyediaan, bubur lambuk tersebut telah diagihkan kepada semua pusat pengajian di bawah UUM COLGIS serta jabatan berkaitan sebagai tanda penghargaan dan simbol perkongsian rezeki sempena Ramadan.

Pengagihan ini turut memperlihatkan komitmen UUM COLGIS dalam memupuk hubungan harmoni bukan sahaja dalam kalangan staf dan pelajar, malah bersama rakan pengurusan dan sokongan kampus.
Penganjuran program ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai wadah memperkukuhkan silaturahim serta menyemarakkan penghayatan nilai murni Ramadan dalam kalangan warga UUM COLGIS.



