Bengkel Teknik Pemasaran Bersemuka perkasa usahawan IKS Changlun
Gambar Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), UUM
SINTOK, 5 Mac 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus komited dalam memperkasakan komuniti dan usahawan tempatan melalui penganjuran Bengkel Teknik Pemasaran Bersemuka yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) dengan kerjasama ahli penyelidik Geran Inovasi Sosial (SIGS) di Bilik Seminar SOG.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) yang juga merupakan Ketua Projek Geran SIGS, Dr. Noor Hanis Zainal Abidin berkata, bengkel ini menghimpunkan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sekitar Changlun bagi memperkukuhkan kemahiran komunikasi pelanggan serta strategi pemasaran yang lebih berkesan dalam pasaran semasa.

Menurutnya, ia merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah geran SIGS iaitu Transformasi Agroekonomi Melalui Inovasi Sosial: Pemerkasaan Usahawan Limau Bali Changlun melalui Penjenamaan dan Pendigitalan Pasaran, yang memberi fokus kepada pembangunan kapasiti usahawan melalui pendekatan inovasi sosial dan pemerkasaan komuniti.
“Bengkel ini merupakan platform penting dalam usaha memperkasakan komuniti usahawan tempatan agar lebih berdaya saing dalam pasaran semasa.
“Melalui latihan yang berfokus kepada teknik pemasaran bersemuka, peserta bukan sahaja memperoleh ilmu baharu, malah dapat meningkatkan keyakinan serta kemahiran komunikasi dalam mengurus pelanggan secara profesional,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa program seumpama ini mampu memberi impak signifikan terhadap pembangunan sosioekonomi komuniti setempat, khususnya dalam memperkukuhkan penjenamaan produk serta memperluaskan pasaran usahawan IKS di Changlun serta kawasan sekitarnya.

Program ini turut menampilkan jemputan istimewa iaitu artis, Serina Redzuawan, seorang usahawan serta personaliti yang aktif dalam membimbing usahawan IKS dalam aspek pemasaran, pengendalian pelanggan serta teknik meningkatkan keyakinan diri semasa proses jualan.
Turut terlibat dalam menjayakan bengkel ini ialah barisan ahli penyelidik geran SIGS iaitu Dr. Mohamad Zainol Abidin Adam (SBM), Dr. Rusydina Khadzali (SOG) dan Dr. Norhafiza Md Sharif (STHEM) yang bersama-sama menyokong aspirasi universiti dalam memperkukuhkan jaringan universiti-komuniti melalui program berimpak tinggi.
UUM komited untuk terus menyediakan platform pemerkasaan berterusan bagi menyokong pembangunan usahawan tempatan selaras dengan agenda inovasi sosial dan pembangunan mampan negara. – Dr. Norhafiza Md Sharif



