UUM terima sumbangan RM20,000 daripada PEKEMA untuk Program Gerobok Rezeki Siswa
Berita dan gambar Kori Ariff
KUALA LUMPUR, 8 Mac 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima sumbangan berjumlah RM20,000 daripada Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) bagi menyokong pelaksanaan Program PEKEMA Prihatin Gerobok Rezeki Siswa.

Sumbangan tersebut disampaikan kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad, dalam satu majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Inisiatif Gerobok Rezeki Siswa merupakan antara usaha kebajikan PEKEMA dalam membantu pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara, khususnya dalam meringankan kos sara hidup pelajar.

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, program tersebut dilaksanakan sebagai komitmen persatuan untuk menyokong kesejahteraan pelajar, terutamanya dari aspek keperluan makanan harian.
Menurutnya, program PEKEMA Prihatin Gerobok Rezeki Siswa melibatkan penyertaan 11 universiti awam di seluruh negara, sekali gus memberi manfaat kepada pelajar yang memerlukan bantuan.
Sumbangan kepada UUM ini dijangka dapat memperkukuhkan lagi inisiatif kebajikan universiti dalam memastikan mahasiswa terus mendapat akses kepada bantuan makanan dan sokongan yang sewajarnya sepanjang tempoh pengajian mereka.



