Bengkel P&P SBM perkukuh kefahaman staf akademik bagi persediaan Semester A252
Gambar Muhamad Arief Fitri Shafie
SINTOK, 9 Mac 2026: Seramai 120 staf akademik dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Bengkel Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) bagi persediaan Semester A252 yang berlangsung di Dewan Sri Angsana EDC-UUM Hotel, semalam.
Bengkel tersebut memberi penekanan kepada topik “Designing Assessments in Outcome-Based Education through Constructive Alignment” yang bertujuan memperkukuhkan kefahaman pensyarah dalam mereka bentuk penilaian yang selaras dengan pendekatan Outcome-Based Education (OBE).

Sesi perkongsian ilmu telah disampaikan oleh Dr. S Maartandan a/l Suppiah dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) yang berkongsi kepakaran berkaitan prinsip constructive alignment dalam memastikan keselarasan antara hasil pembelajaran kursus, strategi pengajaran dan kaedah penilaian.
Sepanjang bengkel berlangsung, peserta didedahkan dengan pendekatan yang menekankan kepentingan merangka aktiviti pengajaran dan kaedah penilaian yang mampu menyokong pencapaian learning outcomes secara lebih sistematik dan berkesan.
“Pendekatan ini dilihat penting dalam memastikan penilaian yang dilaksanakan benar-benar mengukur tahap penguasaan pelajar terhadap hasil pembelajaran yang ditetapkan,” kata Dr. S Maartandan.

Selain sesi ceramah dan perbincangan, bengkel tersebut turut memberi ruang kepada peserta untuk menilai semula kaedah penilaian kursus masing-masing agar lebih selaras dengan prinsip OBE serta menyokong pembangunan kompetensi pelajar secara menyeluruh.
Program ini diakhiri dengan sesi wrap-up yang dilaksanakan secara perbincangan kumpulan mengikut jabatan, bagi membolehkan pensyarah bertukar pandangan, menyelaras pendekatan pengajaran serta memperkukuh perancangan akademik bagi menghadapi semester yang akan datang. – Azam Arni Mohd Noor



