SAC Skills Institute perkukuh kerjasama strategik TVET bersama UUM dengan meterainya LoI
Berita dan gambar Dr. Wahida Yaakub
TAMPIN, 9 Mac 2026: SAC Skills Institute Sdn. Bhd. telah memeterai Surat Penyataan Hasrat (LoI) bersama Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi memperkukuhkan pembangunan dan pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berteraskan keperluan industri.

Majlis tersebut dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi UUM yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad; Pengarah Pengurusan TVET UUM, Prof. Madya Ts. Dr. Shanusi Ahmad serta Dekan Akademik UUM Kuala Lumpur, Prof. Madya Dr. Nik Adzrieman Abdul Rahman.
Dr. Ram berkata, langkah strategik ini bertujuan memastikan setiap program latihan yang dijalankan mendapat pengiktirafan profesional, sekali gus melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang relevan dengan kehendak pasaran global dan negara.
Menurutnya, kerjasama ini bakal merangkumi pembangunan program sijil profesional modular TVET, pelaksanaan kursus jangka pendek, serta latihan teknikal dan pengurusan yang komprehensif.

“Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada modul kemahiran insaniah (soft skills) berfokus produktiviti dan pensijilan profesional yang layak dituntut di bawah skim HRD Corp.
“Inisiatif ini dijangka akan memperkukuhkan sinergi antara institusi pengajian tinggi dan sektor industri, sekali gus menyokong agenda transformasi modal insan negara melalui pemantapan ekosistem TVET yang lebih dinamik,” katanya.
Mewakili pihak industri, Ahli Lembaga Pengarah SAC Skills Institute Sdn. Bhd., Mohd Shafie Md Sarip hadir bagi menerima dokumen pernyataan hasrat tersebut dengan disaksikan oleh wakil syarikat, Henry Choong dan Hazizul Zamrud.



