ARICG meriahkan bulan Ramadan dengan menyediakan bubur lambuk Seri Sintok
Berita dan gambar Norfaiz Ab Mutalib
SINTOK, 10 Mac 2026: Tradisi penyediaan Bubur Lambuk Seri Sintok kembali memeriahkan suasana Ramadan di Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila warga kampus sekali lagi berganding bahu menyediakan hidangan istimewa tersebut untuk dikongsi bersama.

Pada tahun ini, Asian Research Institute for Corporate Governance (ARICG) turut tidak ketinggalan untuk menyertai Program Memasak Bubur Lambuk Seri Sintok yang dianjurkan oleh Pusat Islam UUM sebagai tanda sokongan terhadap aktiviti kemasyarakatan di peringkat universiti.
Pengarah ARICG, Prof. Dr. Noor Afza Amran berkata, penyertaan dalam program ini bukan sekadar bertujuan untuk melestarikan tradisi Ramadan yang telah lama diamalkan di UUM, malah ia berfungsi sebagai platform terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim.

Beliau menyifatkan aktiviti ini sebagai medium penting dalam memupuk semangat gotong-royong dan kebersamaan dalam kalangan warga universiti, sekali gus mengukuhkan lagi ukhuwah sesama kakitangan dan pelajar melangkaui tugasan rasmi harian.
Bubur lambuk yang dimasak secara bergotong-royong itu kemudiannya diagihkan kepada seluruh warga kampus bagi menyemarakkan lagi kemeriahan bulan suci ini.

Melalui agihan tersebut, setiap warga UUM berpeluang untuk berkongsi keberkatan dan menghayati nilai murni dalam memberi, selaras dengan semangat Ramadan yang mulia.
Semoga tradisi murni ini terus kekal sebagai simbol perpaduan yang menyatukan warga UUM serta membawa keberkatan yang berpanjangan kepada semua.



