Campus

Gema ‘ketuk-ketuk sahur’ tambat hati pelajar antarabangsa UUM di Kampung Teluk Kandis

Berita dan gambar oleh Pasukan Penyelidik Geran Translational

ALOR SETAR, 27 Februari 2026: Seramai 15 pelajar antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) dari Iraq, Indonesia, China, Somalia, Yemen, Pakistan dan Palestin telah menyertai program pengalaman Ramadan di Kampung Teluk Kandis pada 26 hingga 27 Februari lalu bagi menyelami keunikan budaya dan kehidupan masyarakat desa di negeri ini.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Geran Translational UUM yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Rafeah Mat Saat, dengan kerjasama Kelab Belia Masjid Teluk Kandis (KBMTK) serta Kelab Mendaki Teluk Kandis.

Penganjuran program ini bertujuan mengetengahkan warisan tempatan melalui pendekatan pemindahan ilmu dan pengalaman secara langsung kepada peserta antarabangsa.

Turut hadir memberikan sokongan dalam program berkenaan ialah barisan penyelidik UUM, iaitu Prof. Madya Dr. Ku Maisurah Ku Bahador, Prof. Madya Dr. Normalisa Md Isa, Prof. Madya Dr. Fariza Hanim Rusly, Dr. Raudah Danila, dan Dr. Siti Norliza Jumali.

Bagi para pelajar antarabangsa terbabit, pengalaman itu memberikan satu kenangan yang cukup bermakna dan berbeza daripada suasana Ramadan di negara asal masing-masing.

Seusai menunaikan solat Tarawih pada malam Khamis, mereka dibawa ke rumah penduduk kampung untuk mempelajari cara melipat daun palas bagi menghasilkan ketupat, antara juadah tradisional yang sinonim dengan sambutan Aidilfitri di Malaysia.

Salah seorang pelajar dari Yemen menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang sangat istimewa.

“Ini kali pertama saya memegang daun palas dan belajar melipat ketupat. Ia agak mencabar tetapi sangat menyeronokkan. Di negara saya, suasana Ramadan berbeza, namun di sini saya dapat merasakan kehangatan kekeluargaan dan kebersamaan komuniti dengan begitu kuat,” katanya.

Kemuncak program bermula sekitar jam 3.00 pagi Jumaat apabila para pelajar turut serta bersama belia kampung menaiki motosikal dari rumah ke rumah bagi mengedarkan juadah bersahur kepada penduduk.

Suasana diterangi cahaya lampu pelita, diselangi bunyi ketukan dan laungan mengejutkan sahur, sekali gus menampilkan keunikan tradisi kampung yang masih kekal subur dipelihara.

Menurut Ketua Projek, Prof. Madya Dr. Rafeah Mat Saat, penglibatan pelajar antarabangsa dalam program berkenaan menjadi medium yang amat berkesan untuk memperkenalkan budaya tempatan kepada masyarakat global.

“Melalui Geran Translational ini, kami bukan sahaja ingin memelihara warisan tempatan, tetapi juga membawa pengalaman budaya ini ke peringkat yang lebih luas.

Apabila pelajar dari pelbagai negara bersama-sama menyertai aktiviti ketuk-ketuk sahur, mereka bukan sekadar melihat budaya itu dari luar, sebaliknya benar-benar menjadi sebahagian daripada kehidupan komuniti setempat,” katanya.

Program berakhir dengan sesi bersahur beramai-ramai di rumah penduduk sebelum para peserta menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Umawi Teluk Kandis.

Walaupun keletihan jelas terpancar, kegembiraan pada wajah peserta menggambarkan bahawa pengalaman Ramadan di Malaysia bukan hanya terletak pada juadah dan adat, tetapi juga pada nilai ukhuwah, kebersamaan dan warisan yang terus mekar dalam masyarakat.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button