Math Marvels perkasa PdP matematik luar bandar, masuki fasa pertengahan pelaksanaan
Gambar Nur Syafiqah Faidzul Hassan
KUBANG PASU, 27 April 2026: Projek inovasi sosial ‘Math Marvels: Jelajah Matematik Harian Melalui Interaktif Modul’ yang diterajui oleh penyelidik dari Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia (UUM) kini memasuki fasa pertengahan pelaksanaan dengan kejayaan menyelesaikan pemantauan pertama di sekolah-sekolah terlibat.

Projek di bawah Skim Geran Inovasi Sosial (SIGS) oleh Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) ini diketuai oleh Dr. Nurul Atiqah Talib bertujuan memperkasakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) matematik melalui pendekatan penyelesaian masalah yang lebih kontekstual dan interaktif, khususnya dalam kalangan murid luar bandar.
Projek ini melibatkan tiga buah sekolah di daerah Kubang Pasu iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Hosba, SK Bandar Bukit Kayu Hitam dan SK Hakim Teh memberi fokus kepada latihan guru serta pelaksanaan modul inovatif di dalam bilik darjah.
Dr. Nurul Atiqah berkata, pendekatan ini dibangunkan sebagai respons kepada cabaran semasa dalam pendidikan matematik, termasuk penurunan prestasi murid dalam penilaian antarabangsa seperti TIMSS serta kurangnya minat terhadap subjek tersebut akibat kaedah pengajaran tradisional.

Selain itu, menurutnya, projek ini turut melibatkan kaedah penilaian komprehensif termasuk ujian pra dan pasca, temu bual guru serta refleksi murid bagi menilai keberkesanan modul dalam meningkatkan kefahaman dan minat terhadap Matematik.
Sepanjang pelaksanaan, guru-guru telah diberikan taklimat ringkas berkaitan penggunaan modul serta pendekatan PdP berasaskan penyelesaian masalah. Modul ini kemudiannya dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan oleh guru dengan pemantauan daripada pasukan penyelidik.
Fasa pemantauan pertama yang telah selesai dijalankan melibatkan pengumpulan data awal seperti kertas ujian pra murid, maklum balas guru melalui borang pemantauan, beserta dokumentasi bergambar.
Dengan memasuki fasa pertengahan, projek ini dijangka akan terus memberi impak positif kepada guru dan murid, khususnya dalam meningkatkan kualiti pedagogi serta membina persepsi positif murid terhadap Matematik sebagai subjek yang relevan dalam kehidupan harian.
Pasukan penyelidik optimis bahawa hasil penuh projek ini bukan sahaja dapat meningkatkan pencapaian akademik murid, malah berpotensi menyumbang kepada pembangunan modul PdP Matematik yang boleh diperluaskan penggunaannya di peringkat nasional pada masa hadapan. – Dr. Nurul Atiqah Talib



