Program Sukarelawan Dana Sosial Takaful IBS UUM perkasa jati diri pelajar
Gambar Nur Ain Fatihah Zainudin
CHANGLUN, 27 April 2026: Program Sukarelawan Dana Sosial Takaful (STF) Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berlangsung selama dua hari pada 24 hingga 25 April lalu di Champ Retreat Kontena Stay berjaya mencapai matlamatnya dalam mengeratkan kerjasama dalam kalangan pelajar, di samping mengasah kemahiran insaniah dan membentuk jati diri yang kukuh.

Program yang menghimpunkan penyertaan aktif 50 pelajar UUM ini dirangka sebagai satu platform pembangunan diri secara holistik melalui pelbagai aktiviti berbentuk kepimpinan, kerja berpasukan dan kesukarelawanan.
Dekan IBS, Prof. Dr Selamah Maamor selaku Penolong Naib Canselor UUM COB dalam ucapan perasmiannya menegaskan penganjuran program ini sejajar dengan aspirasi Dana Sosial Takaful dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, tetapi juga mempunyai kepekaan sosial yang tinggi serta komitmen terhadap khidmat masyarakat.
Menurutnya, usaha ini dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam membina generasi pelajar yang berdaya tahan dan berintegriti.

“Selain itu, program ini turut memberi peluang kepada pelajar untuk memperkukuh jaringan sosial dan meningkatkan keyakinan diri melalui interaksi yang lebih dekat antara peserta daripada pelbagai latar belakang.
“Aktiviti yang dijalankan juga berjaya memupuk semangat kepimpinan dan kerjasama dalam menyelesaikan tugasan secara kolektif,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program, Mohd Saharudin Shakrani berkata, program ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif penganjurannya, malah turut menyumbang kepada pembentukan mahasiswa yang lebih berdaya saing, berkemahiran dan berjiwa masyarakat.

Menurutnya, sepanjang program, peserta didedahkan dengan latihan berkumpulan, aktiviti lasak serta sesi refleksi diri yang menekankan nilai tanggungjawab, disiplin dan semangat setiakawan.
Peserta menyatakan bahawa pengalaman sepanjang program ini amat bermakna dan memberi impak positif terhadap pembangunan diri mereka.
Mereka berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memberi lebih banyak peluang kepada pelajar untuk terlibat dalam aktiviti sukarelawan. – Mohd Saharudin Shakrani



